TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari antara pimpinan PKR yang tidak hadir ke perasmian pemukiman parti di Port Dickson malam ini.
Pemukiman itu dirasmikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri.
Mengikut jadual, Azmin akan hadir pada malam esok untuk menyampaikan ucapan timbalan presiden manakala Amirudin tidak datang kerana cuti sakit.
Surat cuti sakit yang dilihat The Malaysian Insight menunjukkan Amirudin bercuti sakit dua hari sehingga esok.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Azmizam Zaman Huri juga tidak hadir kerana dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Klang.
Turut tidak hadir adalah tiga Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua and Ali Biju.
PKR hujung minggu ini mengadakan pemukiman, ketika parti itu diuji kepimpinan dan perpaduannya terkait tuduhan skandal seks yang tersebar lebih sebulan lalu.
Pemukiman itu berlangsung selama tiga hari dua malam sehingga petang Ahad.
Pemukiman PKR kali ini dijangka panas dengan isu perbalahan membabitkan Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali.
Awal hari ini, enam pemimpin PKR negeri menandatangani ikrar untuk memberikan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk memimpin parti itu
Mereka ialah Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul, Amran Kamaruddin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan) dan Supardi Md Noor (Kelantan). Lapan pengerusi negeri lain dijangka akan menandatangani ikrar tersebut malam ini.
Minggu ini, kedua-dua pemimpin itu saling membalas kenyataan ketika disoal media di Parlimen.
Anwar mencadangkan Azmin meletak jawatan jika didapati beliau adalah pelaku dalam video tersebut manakala Azmin meminta beliau untuk melihat cermin dulu.
Lima minggu lalu, beberapa klip rakaman dua lelaki melakukan hubungan intim disebarkan oleh individu tidak dikenali melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp.
Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliau salah seorang lelaki dalam rakaman itu dan mendakwa Azmin adalah pasangannya.
Azmin menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai serangan untuk menjahanamkan masa depan politiknya.
Semalam, 28 pemimpin PKR yang membuat kenyataan bersama dan menggesa Anwar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. – 19 Julai, 2019.
Komen