LEBIH ramai lagi pegawai dan anggota polis yang tidak berintegriti serta enggan mematuhi undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Mengulas mengenai penahanahan tiga pegawai Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman yang terlibat dalam jenayah peras ugut minggu lepas, Hamid mengakui masih ada yang bersikap keras kepala meskipun sudah diberi amaran keras.
“Ini lah akibatnya apabila keras kepala. Sudah terlambat untuk berpatah balik kerana saya jamin mereka akan dikenakan tindakan keras. Saya sudah banyak beri amaran keras kepada semua pegawai saya.
“Saya jangkakan SPRM akan lakukan lebih banyak tangkapan kerana saya dimaklumkan yang mereka sudah lama perhati polis jahat ini. Pada masa yang sama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menyiasat aduan orang ramai mengenai salah laku pegawai polis,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan tiga pegawai E8 ditahan minggu lepas kerana disyaki terbabit dalam 12 kes peras ugut pekerja asing di Lembah Klang sejak beberapa bulan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, ketiga-tiga pegawai berkenaan mengaku melakukan peras ugut ke atas 12 peniaga warga Aceh.
“Kami menahan seorang Inspektor dan dua konstabel dari Bahagian E8 selepas menerima laporan dari salah seorang peniaga pada Khamis lepas.
“Mengikut siasatan, kami dapati kesmua suspek memeras ugut sekurang-kurangnya 12 kedai di sekitar Lembah Klang, iaitu empat di Ampang; dua di Setapak; dua di Selayang; masing-masing satu di Sungai Buloh, Ulu Yam, Meru dan Klang,” kata sumber.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kesemua suspek ditahan reman empat hari bermula 17 hingga 21 Julai.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengesahkan lapan individu termasuk seorang timbalan pendakwa raya ditahan pada Rabu.
Mereka ditahan berhubung dakwaan menerima sogokan sebagai balasan melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa di Kuala Kubu Bharu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM atas kesalahan sogokan. – 19 Julai, 2019.
Komen