TIGA pegawai Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam 12 kes peras ugut pekerja asing di Lembah Klang sejak beberapa bulan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, ketiga-tiga pegawai berkenaan mengaku melakukan peras ugut ke atas 12 peniaga warga Aceh.
“Kami menahan seorang Inspektor dan dua konstabel dari Bahagian E8 selepas menerima laporan dari salah seorang peniaga pada Khamis lepas.
“Mengikut siasatan, kami dapati kesmua suspek memeras ugut sekurang-kurangnya 12 kedai di sekitar Lembah Klang, iaitu empat di Ampang; dua di Setapak; dua di Selayang; masing-masing satu di Sungai Buloh, Ulu Yam, Meru dan Klang,” kata sumber.
Sumber itu bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut bagaimana suspek ditangkap.
Seorang lagi sumber berkata pada 11 Julai lalu ketiga-tiga memeras ugut sebuah kedai di Lembah Jaya Selatan di Ampang pada jam 11.30 malam. Suspek menahan juruwang kedai itu dan meminta pemili kedai membayar wang jika mahu pekerjanya dibebaskan.
“Pada kira-kira pukul 11.30 malam Khamis lepas, suspek memandu ke kedai menaiki kereta Perodua Alza. Sebaik saja tiba di sana, mereka menunjukkan kad kuasa kepada juruwang itu.
“Kemudian mereka paksa juruwang yang merupakan pekerja asing masuk ke dalam kereta dan lalu dibawa ke IPD Ampang Jaya. Mangsa mendakwa dia dipukul oleh salah seorang suspek menggunakan helmet semasa berada dalam kereta.
“Semasa di balai polis, pemilik kedai menelefon juruwang tetapi dijawab oleh suspek. Mereka menuntut bayaran sebanyak RM1,500 jika mahu juruwang itu dibebaskan. Pemilik kedai setuju dan mereka bawa semula mangsa ke kedai di mana pemilik membayar wang yang diminta,” jelas sember.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rompakan berkumpulan.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kesemua suspek ditahan reman empat hari bermula 17 hingga 21 Julai. – 19 Julai, 2019.
Komen