Timbalan pendakwa raya, peguam dan polis ditahan rasuah


Alfian Z.M. Tahir Kalidevi Mogan Kumarappa

AGENSI anti rasuah menangkap lapan individu termasuk seorang timbalan pendakwa raya untuk disiasat berhubung dakwaan menerima sogokan sebagai balasan melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang ditahan pihak berkuasa di Kuala Kubu Bharu.

The Malaysian Insight difahamkan seorang peguam dan enam polis turut ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi pada petang kelmarin.

“Kita jumpa RM17,500 pada peguam. Kita percaya ini wang yang digunakan untuk melepaskan sembilan pendatang yang ditahan.

“Wang itu sepatutnya diagih-agihkan,” kata sumber.

Sumber juga memberitahu operasi berkenaan menemui RM85,000 daripada timbalan pendakwa raya, yang dipercayai wang hasil kegiatan haram.

Sumber mengesahkan kesemua lapan orang itu ditahan dalam operasi pada petang Rabu tetapi enggan mendedahkan sebarang butiran lanjut.

The Malaysian Insight difahamkan lima polis yang ditahan ialah pegawai penyiasat sementara seorang lagi polis mahkamah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM atas kesalahan sogokan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam maklum balas ringkas kepada The Malaysian Insight mengesahkan semua mereka ditahan reman selama lima hari. – 19 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen