Pemimpin Pakatan harap PKR mampu tangani isu video seks


Zaim Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Pemimpin Bersatu dan Amanah berharap ketegangan dalam PKR mengenai video seks akan reda secepat mungkin kerana ia memberi kesan tidak sihat terhadap parti gabungan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin berharap ketegangan dalam PKR mengenai video seks akan reda secepat mungkin kerana ia memberi kesan tidak sihat terhadap parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Dalam Negeri itu juga berharap perkara tersebut akan selesai dalam masa terdekat.

“Saya tidak perlu memberi sebarang nasihat kerana mereka adalah rakan dan saudara saya. Kami sentiasa berdoa agar perkara ini tidak betul (tentang video intim). Dan kemelut ini boleh selesai secepat mungkin.

“Sudah pasti isu ini tidak baik untuk kami. Bukan hanya kepada PH dan kerajaan tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Namun Muhyiddin mengharapkan gabungan PH tidak akan berpecah dengan isu yang sedang dihadapi PKR.

“Saya tidak mahu mengatakan (isu ini) memusnahkan diri sendiri. Saya tidak mahu bersikap negatif.

“Jadi kita harap keadaan ini akan reda. Saya tidak tahu lagi nak cakap apa, berdoa sajalah,” tambah beliau.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengharapkan gabungan PH tidak akan berpecah dengan isu yang sedang dihadapi PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

Sementara itu, pemimpin Amanah, Hanipa Maidin berkata pergeseran dalam parti adalah perkara biasa dalam politik.

“Dalam politik jika anda tidak bergaduh dengan seteru politik, anda akan bergaduh sesama sendiri. Ia adalah perkara biasa, tiada apa yang luar biasa berlaku,” katanya.

Beliau juga yakin isu ini tidak akan memecah belahkan gabungan PH.

“Pada saya ia hanyalah satu konflik, ia bukanlah satu krisis (yang memecahbelahkan parti).

“Biarkan mereka selesaikan masalah sendiri, kita tak perlu masuk campur. Saya yakin PKR matang untuk selesaikan isu ini tanpa perlu bantuan pihak lain,” tambahnya.

Sementara itu, The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada beberapa pemimpin DAP tetapi mereka enggan memberi sebarang komen.

Pemimpin Amanah, Hanipa Maidin berkata pergeseran dalam parti adalah perkara biasa dalam politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengakui berlaku keretakan dalam parti susulan tersebarnya video seks yang didakwa melibatkan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Zuraida berkata sudah tiba masanya PKR membaiki keretakan dan mengukuhkan parti.

Beliau antara 28 pemimpin PKR yang membuat kenyataan bersama bersama dan menggesa Anwar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.

Pertelagahan kedua-dua pemimpin itu dilihat semakin serius apabila saling berbalas kenyataan.

Azmin semalam meminta Anwar “tengok cermin” kerana memintanya meletak jawatan jika terbukti dakwaan video seks melibatkannya adalah benar 

Bulan lepas, satu siri video memaparkan dua lelaki melakukan hubungan intim tersebar menerusi WhatsApp.

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudiannya mendakwa dua lelaki ialah beliau dan Azmin.

Azmin menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai konspirasi untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Setakat ini, polis sudah menahan sembilan orang untuk membantu siasatan kes itu termasuklah pemimpin PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim. – 18 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen