Keretakan semakin jelas dalam PKR, kata Zuraida


Ragananthini Vethasalam

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengakui terdapat keretakan jelas dalam parti itu selepas berlakunya skandal seks melibatkan Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

ZURAIDA Kamaruddin, salah seorang pemimpin PKR yang mengecam kenyataan Anwar Ibrahim mengenai skandal video seks mengakui terdapat keretakan jelas dalam parti itu.

Bagaimanapun naib presiden PKR itu berkata, sudah tiba masanya parti itu membaiki keretakan dan memperkuatkan dinamiknya.

Ketegangan berlaku dalam parti selepas berlakunya skandal seks yang didakwa melibatkan Mohamed Azmin Ali.

“Ya, ada satu persepsi dan media membangkitkannya.

“Tetapi saya fikir itu berlaku dan bagi saya ia satu peluang untuk menyatukan dan membaiki retak serta melupakannya.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk Keadilan jadi kuat dah kukuhkan parti. Jadi terserah kepada presiden (Anwar) untuk membersihkannya,” katanya.

Zuraida menjawab sedemikian ketika ditanya sama ada terdapat keretakan dalam parti berkenaan.  

Beliau berkata, parti itu harus berpendirian sama dan mencari dalang di sebalik video seks yang tersebar.

“Ini masa terbaik untuk Anwar bertindak,” katanya.

Zuraida merujuk kepada satu kenyataan awal hari ini oleh 28 orang pemimpin kanan PKR dan wakil rakyat parti itu yang mengecam Anwar kerana tidak menyokong Timbalan Presiden Azmin Ali yang terkait dengan skandal video seks yang boleh memecah belahkan parti. 

“Saya rasa sudah tiba masanya kita berpendirian sama dan menolak politik kotor,” katanya.

Zuraida berharap sesuatu yang baik akan keluar dari kenyataan itu kerana Anwar telah menerima apa yang dikatakan oleh 28 orang pemimpin kanan berkenaan. – 18 Julai, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen