Pemimpin kanan PKR kecam Anwar tak sokong Azmin


Kenyataan Anwar Ibrahim semalam supaya Azmin Ali meletak jawatan sekiranya video seks dikaitkan dengannya sahih dikecam 27 pemimpin kanan PKR hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

27 orang pemimpin kanan PKR terdiri daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan wakil rakyat parti itu hari ini mengecam Presiden Anwar Ibrahim kerana tidak menyokong Timbalan Presiden Azmin Ali yang terkait dengan skandal video seks yang boleh memecah belahkan parti. 

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, mereka berkata, Anwar perlu memberi tumpuan kepada rancangan politik jahat dan bukannya mencadangkan Azmin meletak jawatan jika video seks itu terbukti sahih. 

“Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata,” kata kenyataan itu. 

Semalam, Anwar dilaporkan berkata yang Azmin perlu meletak jawatan sekiranya terbukti video seks yang tular dikaitkan dengan dirinya adalah sahih. 

Kenyataan bersama kepimpinan PKR itu juga meminta Anwar memberi tumpuan kepada jenayah jijik dan berniat jahat itu. 

“Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.” 

Mereka juga menimbulkan persoalan perbezaan kenyataan Anwar ketika skandal itu mula terbongkar. 

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

“Justeru berdasarkan penafian tegas Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, presiden sewajarnya mempertahankan timbalan presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” katanya. 

Bulan lepas, siri video memaparkan dua lelaki melakukan hubungan intim tersebar menerusi WhatsApp. Ia didakwa berkaitan dengan seorang pemimpin kanan negara. 

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian tampil mengakui beliau adalah salah seorang pelaku video itu. Haziq turut mendakwa seorang lagi pelaku ialah Azmin, tuduhan yang sudah dinafikan menteri hal ehwal ekonomi itu. 

Setakat ini polis sudah menahan sembilan orang untuk membantu siasatan kes itu. 

Antara yang ditahan termasuklah Haziq dan Ketua PKR Perak yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak. 

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis tidak menolak kemungkinan wujud konspirasi di sebalik rakaman dan penyebaran video itu, dan mereka yang ditahan menerima arahan daripada orang atasan.

Pemimpin PKR yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah empat Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua Tian, Dr. Xavier Jayakumar dan Ali Biju; Ketua Wanita Haniza Talha, Timbalan Ketua Wanita Dr Daroyah Alwi, Timbalan Setiausaha Agung Dr Edmund R Santhara Kumar, Ketua PKR Sarawak Baru Bian, Timbalan Ketua Pemuda Muhammad Hilman Idham dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Amirudin Shari, Rashid Hasnon, Sivarasa Rasiah, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Saifuddin Abdullah, Zakaria Abdul Hamid, Mohd Radzlan Jalaludin, Dr Mansor Othman, Kamarudin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian dan Lee Kai Loon.

Empat ahli Parlimen yang menyokong Azmin ialah Steven Choong (Tebrau), Jonathan Yasin (Ranau), Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya). Pada tengahari tadi, seorang lagi ahli Parlimen, Chan Ming Kai (Alor Setar) turut menyertai barisan kepimpinan parti yang mengecam Anwar. 

Pemimpin terlibat juga mengingatkan Anwar sejak pergerakan Reformasi bermula, parti itu tidak pernah henti membelanya daripada taktik serupa menggunakan video seks dan pelbagai kaedah politik kotor walaupun ketua polis negara pada 2011 mengesahkan video seks dikaitkan dengannya adalah sahih dan tulen.

“Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’

Azmin semalam ketika mengulas kenyataan Anwar itu menggesa bakal perdana menteri kelapan itu supaya muhasabah diri.

“Tengok mulut saya, beritahu dia, tengok cermin.

“Suruh Anwar untuk muhasabah, tengok cermin muka dia dahulu,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam turut menyatakan sokongan kepada Azmin, menyifatkan video seks itu satu gerakan politik jahat untuk menjatuhkan Azmin.

“Saya nampak ini satu gerakan politik bukan jenayah. Jenayahnya adalah ada pakatan untuk menjatuhkan Azmin,” katanya. – 18 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen