PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad enggan diheret ke dalam kemelut PKR yang berbangkit susulan penyebaran rakaman seks yang didakwa melibatkan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden parti itu.
Kata Dr Mahathir, beliau ada banyak perkara lain yang hendak difikirkan sekarang.
“Saya tidak ada masa untuk memikirkan perkara ini. Saya ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan,” katanya menjawab pertanyaan apakah PKR kini satu beban bagi Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH diminta mengulas perkembangan terbaru hari ini selepas 28 pemimpin kanan dan wakil rakyat PKR membidas presiden parti Anwar Ibrahim yang didakwa tidak mempertahankan Azmin.
Ditanya sama ada masalah yang sedang melanda PKR menjadi beban kepada PH, Dr Mahathir berkata: “Itu terpulang kepada anda untuk membuat penilaian, terima kasih.”
Ditanya pula sama ada pergolakan dalam PKR akan melambatkan penyerahan kuasa perdana menteri, beliau berkata: “Itu akan berlaku pada masa depan. Kita akan selesaikannya apabila ia berlaku nanti pada masa depan”.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 28 pemimpin PKR itu menggesa Anwar supaya berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.
“Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Gesaan 28 pemimpin PKR itu adalah reaksi kepada kenyataan Anwar semalam yang membayangkan Azmin wajar letak jawatan sekiranya terbukti rakaman seks yang dituduh terhadapnya itu tulen.
Azmin dalam reaksinya semalam menyarankan kepada Anwar supaya bermusahabah dan “cermin diri”.
Anwar dalam reaksi balasnya pula hari ini berkata beliau tidak kecewa dengan kenyataan Azmin sebaliknya meminta timbalannya itu membaca teks penuh dan konteks kenyataannya semalam.
“Saya fikir beliau patut membaca teks penuh dan konteksnya.
“Barangkali perlu baca teks penuh dan tidak melenting, tidak merasa terganggu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan semalam, penyelaras Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan video lucah yang pernah dikaitkan dengan Anwar pada suatu masa dahulu. – 18 Julai, 2019.
Komen