Khairuddin minta polis siasat pula video dikaitkan dengan Anwar


Penyelaras Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan berkata, laporan polis itu dibuat semata untuk membersihkan nama Anwar dan mempertahankannya sebagai calon perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2019

PENYELARAS Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan video lucah yang pernah dikaitkan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada suatu masa dahulu.

Katanya, laporan polis itu dibuat semata untuk membersihkan nama Anwar dan mempertahankannya sebagai calon perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad.

“Saya juga berdoa agar video-video yang cuba memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada suatu masa dahulu adalah palsu semata-mata agar apabila menjawat jawatan perdana menteri kelapan kelak tiada siapa pun dari kalangan parasit dapat memfitnah beliau lagi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Khairuddin, siasatan polis yang menyeluruh terhadap dakwaan itu adalah untuk menyelamatkan Anwar daripada terus difitnah, yang beliau sifatkan sebagai tindakan “mempertahankan sahabat”.

“Apabila sahabat berada dalam kesusahan kita harus menghulur tangan untuk membantu bukan mengeluarkan pisau untuk tikam kawan dari belakang,” katanya.

Khairuddin membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, petang tadi.

Khairuddin pertama kali membangkitkan soal video lama itu semalam selepas Anwar berkata polis perlu juga mendedahkan ketulenan rakaman seks dua lelaki yang tersebar, yang dituduh melibatkan Mohamed Azmin Ali.

Menurut Anwar, rakyat mahu tahu kebenaran rakaman itu dan bukan hanya dalang yang menyebarkannya.

Anwar dalam satu kenyataan susulan hari ini berkata Azmin perlu letak jawatan jika rakaman seks itu terbukti sahih melibatkannya.

Pada pertengahan 2011, tiga individu yang menamakan diri mereka sebagai “Datuk T” menayangkan video rakaman seks antara lelaki yang mereka dakwa Anwar dengan seorang wanita.

Tiga individu itu – bekas ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah serta ahli politik Shuib Lazim – dihukum oleh mahkamah selepas mengaku bersalah atas tuduhan menayangkan video tersebut kepada umum.

Khairuddin, yang juga ahli Amanah, pada pilihan raya umum yang lalu bertanding kerusi Parlimen Jasin tetapi kalah kepada calon Barisan Nasional, Ahmad Hamzah. Dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PAS, Abd Alim Shapie, Ahmad menang dengan hanya 219 undi.

Pada 12 Jun lalu, mahkamah pilihan raya mengekalkan kemenangan Ahmad selepas Khairuddin gagal membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersilap semasa proses kiraan undi. – 17 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen