Masalah hubungan dengan Azmin bukan sebab jawatan PM, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam Zaim Ibrahim

Anwar Ibrahim berkata masalah hubungannya dengan Azmin Ali bukan kerana merebut jawatan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2019.

ANWAR Ibrahim hari ini menafikan tuduhan bahawa perebutan jawatan perdana menteri adalah punca masalah hubungan dengan Mohamed Azmin Ali.

Beliau turut menegaskan yang perbincangan pengambilalihan tampuk kepimpinan daripada Dr Mahathir Mohamad sedang berjalan dengan baik.

“Pertamanya ia bukan isu. Ahli Parlimen bersama saya. Pakatan Harapan sudah keluarkan pendirian bahawa tiada yang berubah.

“Perbincangan berjalan dengan baik, jadi apa masalahnya?” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada skandal seks terbaru membabitkan Azmin ada kaitan dengan perebutan jawatan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Sementara itu, mengulas kenyataan Azmin semalam yang memintanya bermuhasabah, Anwar berkata menteri hal ehwal ekonomi itu perlu membaca kenyataan penuhnya sebelum membuat ulasan.

Azmin semalam meminta Anwar “tengok cermin” kerana memintanya meletak jawatan jika terbukti dakwaan video seks melibatkannya adalah sahih.

“Saya rasa tidak adil (Azmin menyuruhnya tengok cermin). Azmin berkata demikian tanpa membaca kenyataan penuh saya.

“Mungkin dia anggap, saya datang sini dan menyuruhnya letak jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menerima pandangan yang dikemukakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli Parlimen PKR menerusi satu kenyataan hari ini supaya usaha memecah belahkan parti dihentikan.

“Saya terima pandangan daripada ahli Parlimen dan MPP, walaupun ada yang menafikan; maksud mereka (kenyataan) adalah untuk memastikan supaya parti ini tidak kelihatan terlalu tegang,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Anwar berkata Azmin tidak perlu bercuti atau meletak jawatan jika belum didapati bersalah.

“Dia tidak perlu bercuti jika video itu tidak benar. Dia perlu meletak jawatan serta merta sekiranya ia terbukti benar,” katanya kepada wartawan semalam di Parlimen.

Dalam satu program Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Dr Mahathir juga berkata, Azmin perlu menyedari fakta bahawa seseorang itu  tidak bersalah selagi belum dibuktikan.

Namun Tun M percaya, kemelut yang sedang berlaku ini adalah konspirasi politik untuk menjatuhkan Azmin.

Bulan lepas, satu siri video memaparkan dua lelaki melakukan hubungan intim tersebar menerusi WhatsApp.

Bekas setiausaha politik seorang timbalan menteri PKR Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudiannya mendakwa dua lelaki ialah beliau dan Azmin.

Azmin menafikan tuduhan itu, menyifatkannya sebagai konspirasi untuk merosakkan kerjaya politiknya.

Setakat ini, polis sudah menahan sembilan orang untuk membantu siasatan kes itu termasuklah pemimpin PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.

Kata sumber polis, pegawai parti dalam PKR sendiri dipercayai dalang di belakang rakaman seks berkenaan. – 18 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen