Terserah pada Azmin, cuti atau tidak, kata Dr Mahathir


Kalidevi Mogan Kumarappa

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan rakaman lucah yang tersebar adalah tindakan politik bagi menghalang kejayaan politik seseorang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Julai, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kepada Mohamed Azmin Ali sama ada mahu bercuti atau tidak daripada Kabinet, sementara polis menyiasat penyebaran rakaman seks melibatkan dua lelaki yang salah seorangnya didakwa menteri hal ehwal ekonomi itu.

Dr Mahathir mengingatkan, mana-mana pihak tidak boleh dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

“Ya, boleh cuti atau boleh teruskan kerja. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Beyond Paradigm 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga timbalan menteri, yang menggesa pemimpin yang disiasat oleh pihak berkuasa supaya bercuti sementara.

Menurut perdana menteri, rakaman lucah yang disebarkan itu adalah tindakan politik bagi menghalang perjalanan politik seseorang. 

“Ini semua pasal politik. Ini bukan pasal mendedahkan salah laku seseorang. Ini pasal politik, nak sekat seseorang daripada berjaya dalam politik,” katanya.

Polis memberitahu The Malaysian Insight, rakaman seks antara dua lelaki yang tersebar lima minggu lalu dipercayai didalangi pemimpin PKR sendiri.

Polis sehingga ini menahan sembilan orang untuk siasatan berhubung rakaman seks itu yang tersebar lima minggu lalu, termasuk tiga yang ditahan malam tadi.

Pada Ahad, polis menahan enam orang termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz, bekas Ketua Pemuda PKR Santubong yang mengaku beliau adalah lelaki dalam rakaman seks itu dan mendakwa berhubungan intim dengan Azmin.

Ini adalah kali kedua Haziq ditahan selepas tidur semalam di lokap polis sebulan yang lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, untuk siasatan penyebaran rakaman seks itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tahu menahu perkara tersebut.

“Ini kali pertama saya dengar,” katanya.

Semalam, Shamsul dalam satu kenyataan berkata pemimpin yang disiasat pihak berkuasa tidak wajar berselindung di sebalik kedudukan mereka baik dalam kerajaan mahupun parti, apalagi di belakang perdana menteri.

Beliau tidak menamakan pemimpin berkenaan tetapi difahami merujuk kepada Azmin, yang juga timbalan presiden PKR.

Azmin dalam reaksinya ketika diminta mengulas gesaan Shamsul hanya menjawab ringkas: “Jangan jadi munafik.”

Shamsul membuat kenyataan itu selepas Anwar menggesa pihak berkuasa mendedahkan ketulenan video yang tersebar serta menamakan pelaku yang terlibat dalam rakaman berkenaan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa hanya segelintir individu, termasuk Haziq, ditahan berhubung kes penyebaran video berkenaan. – 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen