TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Ketua Penerangan parti itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa pemimpin dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti.
Azmin, yang menjadi perhatian kerana dikaitkan dengan satu video seks menyifatkan Shamsul bersifat munafik kerana menggesa sedemikian.
“Jangan jadi munafik,” katanya ringkas hari ini, menjawab kenyataan Shamsul yang dimuatkan di Facebook.
Kes penyebaran rakaman tersebut kini disiasat polis yang sudahpun menahan enam individu, termasuk bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Haziq mengaku sebagai pelaku dalam video berkenaan dan menuduh Azmin sebagai salah seorang lagi individu dalam rakaman itu.
Tuduhan itu dinafikan Azmin yang menyifatkannya satu fitnah untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Shamsul Iskandar pula hari ini tampil menggesa agar pemimpin politik yang dikaitkan salah laku perlu bercuti daripada menjalankan tugas.
Menurutnya langkah tersebut penting untuk memudahkan agensi penguatkuasa menjalankan siasatan dengan bebas dan untuk memberi gambaran yang baik kepada masyarakat.
Katanya pemimpin berkenaan tidak harus dilihat cuba berselindung di sebalik jawatan atau di belakang perdana menteri, katanya.
Shamsul turut berkata layanan yang sama, atau lebih tegas dalam siasatan diberikan tanpa melihat pangkat, sama ada melibatkan menteri atau anggota exco negeri.
“Mengambil contoh jika seseorang pegawai kerajaan yang berhadapan dengan siasatan pihak berkuasa, beliau akan dilepaskan dari tugasan hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugas serta-merta,” katanya lagi.
Kenyataan Shamsul itu timbul selepas Presiden parti, Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa mendedahkan ketulenan video serta menamakan pelaku yang terlibat dalam video berkenaan.
Beliau juga mempersoalkan mengapa hanya segelintir individu, termasuk Haziq, ditahan berhubung kes penyebaran video berkenaan. – 16 Julai, 2019.
Komen