KERAJAAN masih meneliti Akta Hasutan 1948 dan belum ada keputusan mengenainya sama ada dimansuhkan atau dipinda, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keputusan muktamad kerajaan hanya akan dibuat selepas kajian ke atas undang-undang itu selesai.
“Walaupun kita komited untuk menelitinya, ia masih dalam proses kajian. Ini adalah satu daripada beberapa undang-undang yang kita janji akan lihat sekiranya ada peruntukan yang dianggap zalim,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
“Kita belum muktamadkan keputusan. Kita janji akan lihat sama ada ia dimansuhkan atau dipinda,” katanya.
Kedudukan Akta Hasutan jadi perhatian semula selepas pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dikenakan tambahan hukuman penjara menjadi setahun atas sabitan tuduhan menghina Sultan Selangor.
Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam mengekalkan sabitan ke atas Wan Ji dan menambah hukuman antara lain dengan alasan kesalahan yang dilakukannya sangat melampau dan mencabul Rukunegara.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan Wan Ji didakwa bukan kerana Akta Hasutan masih belum dipinda.
Beliau enggan mengulas lanjut kerana ia keputusan mahkamah dan menyerahkan kepada Wan Ji untuk membuat rayuan.
Semalam, peguam Syahredzan Johan mengkritik tindakan pendakwa raya yang meminta hukuman lebih tinggi ke atas Wan Ji ketika kerajaan sudah mengumumkan hasrat menyemak semula Akta Hasutan.
Tetapi Syahredzan turut mengingatkan kalau kerajaan hapuskan Akta Hasutan sekarang sekali pun, ia tidak mengubah sabitan dan hukuman ke atas Wan Ji kerana perbuatan berkenaan dibuat semasa undang-undang itu masih berkuat kuasa.
Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga berkata kerajaan sedang meneliti Akta Hasutan.
Bagaimana ditanya tentang kes Wan Ji, beliau berkata tidak maklum mengenainya. – 10 Julai, 2019.
Komen