KUMPULAN pencegah maksiat Skuad Badar sepatutnya menjelaskan tindakan mereka kepada pihak berkuasa agama di Kedah dan bukannya kepada kementerian, kata Mujahid Yusof Rawa.
Menteri hal ehwal agama itu berkata bidang penguatkuasaan adalah tanggungjawab negeri dan bukan di bawah kuasa kerajaan persekutuan.
Oleh itu setiap kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti penguatkuasaan perlu menghormati jabatan agama Islam di negeri masing-masing yang berkuasa menjalankannya.
“Kuasa penguatkuasaan agama terletak di negeri. Saya ini jaga persekutuan.
“Skuad Badar ini di Kedah. Dia kena jumpa orang Kedah la. Jadi dia urus apa sahaja masalah dengan orang Kedah,” kata beliau ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun kerajaan persekutuan berhasrat agar hanya pihak berkuasa agama saja diberi kuasa berbuat demikian supaya tiada percanggahan, katanya.
Dalam kenyataan serupa minggu lalu, beliau berkata pertindihan kuasa antara pihak berkuasa agama dan NGO seperti itu akan menyebabkan kekacauan.
Beliau menjawab tuntutan Pengerusi Skuad Badar Azhar Mohamad untuk bertemu dengannya dan juga polis bagi menjelaskan tindakan pencegahan maksiat oleh NGO tersebut.
Azhar berkata beliau mahu mengelak pertindihan kuasa dengan Jabatan Agama Islam dan berharap agar kerajaan dapat memberi garis panduan kepada mereka untuk meneruskan aktiviti cegah maksiat itu.
“Tidak akan ada percanggahan kalau kita ada sesi dialog. Mujahid Yusof Rawa kena panggil badan-badan sukarela berdialog, bagi garis panduan dan had (kuasa) kepada kami,” kata Azhar.
Kumpulan itu kembali menjadi perhatian apabila Azhar mengumumkan akan meluaskan aktivit dan jaringan pertubuhan itu ke seluruh negara dengan nama Skuad Badar Al Kubra.
Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor pada minggu lalu turut memberi amaran kepada Skuad Badar supaya tidak menjalankan sebarang tindakan penguatkuasaan kerana bukan badan penguatkuasa agama yang sah.
Pertemuan Azhaar dengan exco hal ehwal agama Kedah, Ismail Salleh pada Disember lalu tidak menemui kesudahan yang baik.
Azhar mendakwa Ismail berdolak-dalik untuk membantu badan itu berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Beliau menuduh Ismail seorang yang “menipu, memutar belit fakta dan berpura-pura” apabila membuat tuduhan yang disifatkannya berniat jahat terhadap mereka.
Pada April lalu, Azhar serta enam lagi individu dikenakan denda selepas mengaku salah menyertai pertubuhan haram kerana Skuad Badar tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. – 9 Julai, 2019.
Komen