KUMPULAN pencegah maksiat Skuad Badar berharap dapat mengadakan dialog dengan polis dan juga menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa untuk menjelaskan aktiviti mereka.
Pengasas dan pengerusinya, Azhar Mohamad berkata mereka mahu menjelaskan aktiviti Skuad Badar hanya ingin membantu jabatan agama Islam dalam menangani gejala sosial.
“Tidak akan ada percanggahan kalau kita ada sesi dialog. Mujahid Yusof Rawa kena panggil badan-badan sukarela berdialog, bagi garis panduan dan had (kuasa) kepada kami.
“Itu lebih baik. Perkara akan menjadi rumit jika kita tidak bermuzakarah. Saya bersedia bersemuka dengan Mujahid,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Beliau menjawab kenyataan Mujahid pada Sabtu yang berkata tindakan kumpulan swasta seperti Skuad Badar yang ingin mengambil fungsi badan agama akan menimbulkan kekacauan.
“Jabatan agama sudah memiliki dasar dan penguatkuasaannya. Jika ada pertindihan fungsi di mana ada pihak swasta (melaksanakan fungsi sama), maka itu akan menimbulkan kekacauan,” kata Mujahid.
Mengulas perkara sama, Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata kumpulan terbabit bukan badan penguatkuasa agama yang sah dan tidak berkuasa menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.
Beliau juga menasihati Skuad Badar agar tidak bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Mengulas amaran itu, Azhar berkata beliau menghormati larangan itu dan meminta agar dapat mengadakan dialog dengan dengan pasukan terbabit.
“Mereka ada kuasa, panggillah kami. Marilah kita duduk berbincang dan dengarkan kehendak kami,” katanya.
Azhar berkata pihaknya ingin membantu jabatan agama kerana penguatkuasa agama itu tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk mencegah gejala maksiat.
“Pihak jabatan agama tak mampu tangani (aktiviti maksiat) hingga jam 4 atau 5 pagi. Mereka bertugas daripada 8 pagi hingga 5 petang saja,” katanya.
Dakwanya, kegiatan maksiat pada masa ini juga berlaku secara terang-terangan dan mereka hanya ingin membantu mencegah kemungkaran.
“Kalau ada yang tidak kena, berilah garis panduan,” katanya.
Minggu lalu, Skuad Badar menyatakan kesediaannya untuk meluaskan operasi mereka ke seluruh negara dengan nama Skuad Badar Al Kubra Malaysia.
Azhar berkata pasukannya akan bertindak dengan lebih berhati-hati pada kali ini dan mendapatkan bantuan undang-undang bagi memastikan pertubuhan itu didaftarkan.
Pada April, Azhar serta enam lagi individu dikenakan denda selepas mengaku salah menyertai pertubuhan haram kerana Skuad Badar tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan. – 8 Julai, 2019.
Komen