Mujahid beri amaran kepada Skuad Badar


Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa berkata, kumpulan pemantau aktiviti maksiat yang mengambil fungsi badan agama hanya akan menimbulkan kekacauan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Julai, 2019.

KUMPULAN pemantau aktiviti maksiat yang mengambil fungsi badan agama hanya akan menimbulkan kekacauan, kata Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa merujuk kepada permohonan Skuad Badar yang mahu mendaftarkan pertubuhan mereka dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Skuad Badar baru-baru ini berkata mereka akan mendaftarkan pertubuhan itu dengan ROS kerana mahu membendung kegiatan tidak bermoral dalam kalangan golongan muda.

Kumpulan ini dikenali sebagai pertubuhan yang memantau aktiviti khalwat di sekitar Kedah dan kini merancang mahu bergerak ke seluruh negara setelah berdaftar dengan ROS.

“Jabatan agama sudah memiliki dasar dan penguatkuasaannya. Dan jika ada pertindihan fungsi di mana ada pihak swasta (melaksanakan fungsi sama), maka itu akan menimbulkan kekacauan,” kata Mujahid ketika ditemui pada acara Street Raya hari ini.

Azhar Mohamad yang merupakan ketua Skuad Badar baru-baru ini berkata, pertubuhan itu mendapat permintaan ramai untuk menyambung semula operasi selepas kumpulan itu dihalang menjalankan operasi pencegahan khalwat sejak Januari lalu apabila beliau ditahan untuk siasatan. 

 “Ahli-ahli sudah ada tetapi belum didaftarkan lagi. Kita akan buat satu majlis pelancaran Skuad Badar yang baharu, Insyaallah penghujung bulan Julai ini

“Saya akan mohon kepada RoS (Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) kembali. Saya akan dapat nasihatkan peguam. Kita pun tak mahu langgar undang-undang,” katanya. 

Pada April, Azhar dan enam yang lain didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah menyertai pertubuhan haram kerana Skuad Badar tidak berdaftar dengan RoS.

Azhar berkata, pasukannya akan berhati-hati kali ini dan mendapatkan bantuan undang-undang bagi memastikan skuad itu didaftarkan dengan betul.

The Malaysian Insight pertama kali melaporkan mengenai kegiatan kumpulan pemantau aktiviti maksiat ini pada November lalu.

Berikutan bantahan daripada aktivis dan ahli politik, mereka dihalang daripada menjalankan operasi pencegahan khalwat sejak Januari lalu.

Azhar berkata, skuad itu akan meneruskan amalannya membawa pasangan yang tidak berkahwin ke tanah perkuburan pada waktu malam untuk memberikan nasihat.  – 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen