WALAUPUN sudah mula dapat menerima hakikat kehilangan anak-anak tersayang yang terbunuh dalam kebakaran di pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur hampir dua minggu lalu, waris mangsa mahu keadilan ditegakkan dengan menghukum mereka yang bertanggungjawab dengan setimpal-timpal hukuman.
Dua daripada tujuh suspek berumur antara 11 hingga 18 tahun yang ditahan reman sejak 16 September lalu akan didakwa di mahkamah esok atas tuduhan membunuh, kata polis.
Enam daripadanya pula berdepan tuduhan memasukkan dadah jenis berbahaya ke dalam badan.
Selain hukuman yang adil dan setimpal, keluarga mangsa juga mahu semua pihak mengambil pengajaran daripada peristiwa yang membunuh 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu.
Mas Aliza, sepupu kepada tiga beradik yang terkorban mahu segala kelemahan yang dikenal pasti daripada kebakaran itu ditangani segera untuk mengelak kejadian sama berulang.
“Saya harapkan hukuman setimpal supaya jadi pengajaran pada orang dan ia tidak berulang lagi. Ibu bapa perlu prihatin dan ambil berat dengan anak mereka.
“Awasi pergaulan anak-anak. Saya tengok yang buat (suspek) umurnya terlampau kecil dan memang tak sangka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Peguam Negara Apandi Ali sebelum ini menjelaskan tertuduh bawah umur yang didakwa membunuh tidak akan menjalani hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan, kerana kedudukan mereka dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, Burhan Abdul Manan yang anaknya, Danial terselamat pada kejadian mahu kerajaan menangani masalah dadah yang merosakkan remaja.
“Kalau dah buat salah mesti kena hukuman yang setimpal. Kerajaan kena bertindak keras pada dadah, ia adalah punca sebenar budak-budak ini jadi berani.
“Orang kata, kalau mereka tidak ambil dadah ini, mereka tidak akan berani sampai macam itu sekali,” katanya, dan menambah anaknya masih trauma atas apa yang yang berlaku.

Tragedi kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat itu mencetuskan perbincangan masyarakat mengenai pengagihan ekonomi serta gejala penagihan dadah di kalangan generasi muda, yang antaranya berpunca akibat kepincangan pendidikan dan kegagalan sistem keluarga.
Sementara itu, Hartini Abd Ghani, ibu yang kehilangan Nik Muhammad Ridzuan, 12, mahu masalah sosial dan keciciran sekolah ditangani bersama termasuk penduduk setempat.
“Semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan perlu tangani isu anak tidak sekolah. Jawatan kuasa penduduk juga kena pantau kawasan.”
“Esok saya nak datang (mahkamah). Saya nak dengar sendiri, sebab rasa macam tak percaya apabila tengok kejadian yang sangat terancang.
“Saya nak tengok muka tertuduh,” katanya.
Siasatan awal bomba mendapati bilik asrama pusat tahfiz itu dibakar dengan sengaja dengan api yang dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian luar bilik asrama.
Siasatan bomba juga mendapati kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga itu dengan cepat, dibantu oleh gas LPG. Penyiasatan bomba menemui dua tong gas LPG di hadapan pintu bilik asrama yang terbakar, berdekatan dengan titik api tempat kebakaran bermula.

Polis sebelum ini juga mengatakan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada insiden ejek-mengejek antara suspek dan pelajar pusat tahfiz.
Semua 23 mangsa yang terbunuh terperangkap kerana bilik asrama itu hanya mempunyai satu pintu dan semua tingkapnya dipasang jeriji besi. Bangunan itu juga dilaporkan tidak mempunyai kelulusan keselamatan daripada pihak berkuasa.
Kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah yang kedua terbesar dalam sejarah kebakaran sekolah agama, selepas kebakaran Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah di Guar Chempedak, Kedah pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.
Susulan tragedi dua minggu lalu, Putrajaya mencadangkan pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 untuk memasukkan sekolah tahfiz ke dalam bidang kuasa akta berkenaan bagi tujuan kawal selia yang seragam.
Pada masa yang sama, beberapa syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai keselamatan sekolah agama selepas tragedi di Kedah pada 1989 itu akan diteliti semula untuk dilaksanakan. – 27 September, 2017.
Komen