Suspek bakar tahfiz didakwa esok kerana membunuh, dadah


Radzi Razak

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh (tengah) berkata kertas siasatan kes tersebut telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara melibatkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

DUA daripada tujuh suspek kes bakar pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur akan didakwa di mahkamah esok atas tuduhan membunuh manakala enam lagi akan dituduh bersabit kesalahan melibatkan dadah, kata polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh berkata kertas siasatan kes tersebut telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Kita (polis) telah menerima arahan untuk mendakwa mereka esok,” kata Amar dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Pertuduhan bunuh akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati manakala kes dadah akan dituduh di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun.

Tujuh suspek berumur antara 11 hingga 18 tahun itu ditahan reman sejak 16 September lalu. Perintah tahanan reman itu sepatutnya berakhir Jumaat ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat minggu lalu mendedahkan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu dibakar dengan sengaja dengan api yang dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian di luar bilik asrama di tingkat dua.

Kebakaran pada 14 September itu membunuh 21 pelajar dan dua guru warden asrama. Hampir semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung terbakar.

Polis awal minggu ini membawa seorang daripada tujuh suspek ke pusat tahfiz berkenaan untuk melengkapkan siasatan.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada insiden ejek-mengejek antara suspek dan pelajar pusat tahfiz berkenaan dan tindakan mereka membakar bangunan asrama itu dipercayai bermotifkan dendam.

Peguam Negara Apandi Ali sebelum ini menjelaskan tertuduh bawah umur yang didakwa membunuh tidak akan menjalani hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan, kerana kedudukan mereka dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak 2001. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen