Tahfiz Kampung Datuk Keramat dibakar dengan petrol, kata bomba


Muzliza Mustafa

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wan Mohd Nor Ibrahim berkata penyiasat telah menjumpai beberapa petunjuk dan bukti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 September, 2017.

KEBAKARAN pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur seminggu yang lalu dipercayai disebabkan oleh api yang dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian bangunan itu, kata bomba.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia, Wan Mohd Nor Ibrahim berkata petrol itu disimbah pada pintu, rak penyangkut tuala, rak kasut dan dinding berdekatan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz itu yang menempatkan pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Katanya, bomba merumuskan kejadian itu sebagai perbuatan membakar dengan sengaja.

Kebakaran itu membunuh 21 pelajar dan dua guru warden asrama. Hampir semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung terbakar.

Menurut Wan Mohd Nor, kebakaran itu bermula di pintu masuk asrama, berdasarkan keterangan saksi yang terselamat dan disokong dengan kesan kebakaran di tempat kejadian seperti pengelupasan pada dinding berdekatan pintu, kehilangan jisim pada pintu, siling, almari dan rak kasut.

“Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di hadapan pintu masuk bilik asrama di aras tiga bangunan itu,” katanya dalam sidang media hari ini, mengumumkan hasil siasatan kebakaran pusat tahfiz itu.

[FOTO] TRAGEDI TERBURUK DALAM TIGA DEKAD

[FOTO] PENGEBUMIAN KORBAN TAHFIZ TERBAKAR

Menurut Wan Mohd Nor, hasil analisis sampel dari tempat kejadian oleh ahli kimia di makmal penyiasatan kebakaran Kuala Lumpur juga mendapati semua sampel berkenaan mengandungi kesan cecair mudah menyala jenis petrol.

Jelas beliau, bomba sudah mendapat petunjuk awal pusat tahfiz itu sengaja dibakar pada tengah hari yang sama pada hari kejadian 14 September lalu selepas analisis awal sampel berkenaan.

“Pihak bomba memaklumkan (petunjuk) kepada polis dan polis memulakan siasatan (pada hari kejadian),” katanya.

Polis kemudian menahan tujuh budak lelaki yang dipercayai membakar pusat tahfiz itu selepas berlaku insiden ejek-mengejek antara mereka dengan pelajar tahfiz. Reman mereka berakhir esok.

Wan Mohd Nor berkata kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras tiga itu dengan cepat, dibantu oleh gas LPG. Penyiasatan bomba menemui dua tong gas LPG di hadapan pintu bilik asrama yang terbakar, berdekatan dengan titik api tempat kebakaran bermula, katanya.

“Kedua-dua silinder ini sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka,” katanya. 

Penyiasatan bomba turut melibatkan empat ekor anjing pengesan dan semua anjing itu menunjukkan ke tempat yang sama.

Hasil analisis sampel oleh ahli kimia di makmal penyiasatan kebakaran Kuala Lumpur juga mendapat semua sampel yang diambil mengandungi kesan cecair mudah menyala jenis petrol, katanya.

“Sampel telah dianalisis oleh Pegawai Kimia di Makmal Penyiasatan kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol,” katanya.

Menurut Wan Mohd Nor, laporan penuh siasatan sudah dihantar kepada polis semalam. 

Sementara itu, beliau menafikan  pintu masuk bilik asrama berkenaan disendal dengan spanar.

Operasi bomba pada hari kejadian melibatkan 43 anggota dan 17 pegawai terlibat dalam operasi pemadaman api pada hari kejadian. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.29 pagi. Sejumlah lima keluarga yang tinggal di bangunan sama berjaya diselamat. Keseluruhnya, 23 orang diselamatkan daripada tempat kejadian.

Wan Mohd Nor berkata kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah yang kedua terbesar dalam sejarah kebakaran sekolah agama, selepas kebakaran Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimah di Guar Chempedak, Kedah pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar. – 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen