HAZIQ Abdullah Abdul Aziz menafikan beliau dibayar untuk mengemukakan tuduhan palsu ke atas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dengan dakwaan skandal seks.
Pemimpin Pemuda PKR itu juga menafikan cuba melarikan diri ke luar negara sewaktu ditahan pada Jumaat lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dakwanya, beliau hanya mahu ke Manila, Filipina untuk bercuti dan menenangkan fikiran kerana tertekan selepas mendakwa beliau merupakan individu dalam rakaman video seks yang tular.
“(Saya mahu ke Manila) untuk bercuti sekejap dan menenangkan fikiran. Saya cukup tertekan dengan apa yang telah berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui kiriman WhatsApp.
Haziq pada 12 Jun lalu mendakwa beliau merupakan individu dalam rakaman video seks itu dan mendakwa seorang lagi individu dalam rakaman tersebut adalah Azmin.
Tuduhan itu dinafikan Azmin yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Azmin juga berkata beliau hanya mengenali Haziq dari jauh dan percaya tuduhan berkenaan didalangi pihak tertentu dalam PKR.
Mengulas mengenai hubungannya dengan ahli Parlimen Gombak itu, Haziq mendakwa beliau mengenali Azmin sejak menjadi mahasiswa.
Haziq yang mendakwa dirinya mangsa dalam tuduhan skandal seks itu berkata, beliau mula rapat ketika membantu Azmin dalam kempen pemilihan PKR pada 2014.
“Saya mula mengenali Azmin sejak saya belajar di Universiti Malaya lagi. Saya membantu kempen pemilihan Azmin, ketika itu beliau dicabar Khalid Ibrahim.
“Saya pernah menjadi (pengacara majlis) semasa pelancaran kempen Keadilan Raya dan membantu menggerakkan Wacana Timbalan Presiden bersama Mahasiswa Keadilan,” katanya.
Haziq kini dipecat dari jawatan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dakwaan Haziq juga disiasat satu pasukan petugas khas yang dibentuk kerajaan.
Berikut soal jawab The Malaysian Insight bersama Haziq:
TMI: Azmin nafi beliau terlibat dalam tuduhan skandal seks ini dan yakin ini satu usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya. Apa komen saudara?
Haziq: Penafian itu hak beliau tapi biarlah pihak polis lakukan tugas kerana hidup saya juga telah terjejas.
TMI: Ada juga dakwaan terdapat pihak tertentu mendalangi penyebaran video tersebut. Siapa dalangnya dan siapa yang merakam?
Haziq: Saya mahukan mereka yang bertanggungjawab dalam penyebaran ini dibawa ke muka pengadilan.
TMI: Kalangan ahli PKR berbeza pendapat dalam tuduhan skandal seks ini. Adakah saudara menjadi mangsa pergeseran dua kem ini?
Haziq: Perbezaan pendapat politik dalam PKR itu sudah wujud sebelum ini. Saya dan Azmin adalah mangsa keadaan kerana apa yang kami lakukan di sebalik tabir menjadi tular.
TMI: Ada juga dakwaan Haziq dibayar jutaan ringgit kerana memfitnah. Apa komen saudara?
Haziq: Amat mudah menuduh mereka yang telahpun dizalimi.
TMI: Apakah rancangan saudara seterusnya? Saudara masih berminat untuk terlibat secara langsung dalam politik?
Haziq: Saya masih belum dapat memikirkan masa depan. Berikan saya masa untuk kembali selepas titik hitam dalam hidup saya ini. – 21 Jun, 2019
Komen