MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata, beliau hanya mengenali Haziq Abdul Aziz “dari jauh” dan menyatakan ketua Pemuda PKR Santubong itu setia kepada Barisan Nasional sebelum ini.
“Saya hanya kenal dia dari jauh.
“Dia anggota parti (PKR), pernah menjadi anggota parti dan kemudian sertai parti pembangkang. Setelah kita (Pakatan Harapan) menang (pada Pilihan Raya Umum ke-14), (dia) lompat balik ke dalam PKR.
“Ia merupakan karakter individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini.
Beliau yang juga timbalan presiden PKR berkata demikian selepas ditanya pemberita sama ada beliau mengenali Haziq, yang mendakwa pernah beberapa kali mengadakan hubungan seks dengannya.
Semalam, Azmin menafikan dakwaan Haziq yang beliau merupakan individu dalam video seks bersama Haziq yang tersebar pada Selasa. Azmin menyifatkan ia sebagai plot jahat untuk memusnahkan karier politiknya.
Azmin turut menyangkal pertanyaan wartawan sama ada video seks berkenaan merupakan rancangan sabotaj yang ada kaitan dengan rancangan penggantian perdana menteri.
“Itu merupakan prerogatif PM untuk tentukan siapa yang terbaik dan layak untuk jawatan itu dan yang diterima oleh majoriti rakyat,” katanya.
“Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi berhubung perkara itu. Fokus utama saya adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur cukup kuat untuk mereka tinggal di Malaysia.
“Saya terlalu sibuk dan terlalu terikat dengan kementerian saya. Kamu tahu saya jarang bercakap politik. Jadi saya tidak mahu buat spekulasi.”
Azmin turut ditanya sekiranya beliau merupakan sasaran sabotaj segelintir pihak yang tidak percaya dengan pelan penggantian yang akan menyaksikan Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.
Ini kerana, Dr Mahathir dan Anwar beberapa kali mengesahkan rancangan itu walaupun rangka masa sebenar tidak ditetapkan.
Azmin juga enggan mengulas ketika ditanya sekiranya beliau mengesyaki sesiapa yang menjadi dalang di sebalik video seks berkenaan.
Beliau berkata cukup dengan laporan polis yang dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa itu memulakan siasatan.
Setiausaha politiknya Hilman Idham membuat laporan polis berhubung penyebaran video seks berkenaan hari ini.
Haziq, 27, sebelum ini pernah menjadi aktivis pelajar dan ahli PKR namun menyertaai kempen calon BN Nancy Shukri pada kempen pilihan raya 2013.
Beliau kembali menyertai PKR selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 dan membentuk kerajaan.
Beliau turut memenangi pemilihan parti tahu lalu, dan menjadi ketua Pemuda PKR Santubong. Pada awal tahun ini, beliau dilantik sebagai setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Akin.
Timbalan menteri itu telah menggantung Haziq dari jawatan berkenaan, dan mengumumkan beliau akan dipecat sekiranya gagal menjawab surat tunjuk sebab berhubung video seks itu. – 13 Jun, 2019
Komen