UTM pertahan tindakan ‘soal siasat’ pelajar


Ragananthini Vethasalam

UTM hari ini mempertahankan tindakan menyoal siasat pelajar berkaitan protes kenaikan yuran, tetapi berkata tidak akan mengambil tindakan tata tertib terhadap mereka. – Gambar Facebook, 31 Mei, 2019.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) berkata tindakan pegawainya menyoal siasat beberapa pelajar yang membantah kenaikan yuran hanyalah untuk mengumpul maklumat dan tidak ada tindakan tata tertib akan dikenakan kepada pelajar terbabit.

Tiga pelajar Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) itu dipercayai penganjur protes, mendakwa mereka disoal siasat oleh polis bantuan UTM pada Rabu selepas mengadakan protes di luar pintu masuk UTM cawangan Kuala Lumpur.

Salah seorang ketuanya, Tan Cheng Siong memberitahu The Malaysian Insight yang mereka disoal siasat oleh dua orang polis bantuan selama dua jam.

UTM dalam kenyataan hari ini bagaimanapun menafikan dakwaan tiga pelajar tersebut disoal siasat selama enam jam tanpa henti Rabu lepas.

“Temubual dengan pelajar dijalankan pada masa dipersetujui ketiga-tiga mereka. Temubual untuk setiap pelajar mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit, dan berehat sebentar untuk berbuka puasa,” katanya.

“Dakwaan yang pelajar terlibat ditemubual selama enam jam tanpa henti adalah tidak benar sama sekali.”

Dalam kenyataan sama, UTM juga berkata yang tiada tindakan tata tertib akan diambil kepada pelajar berkenaan.

Pihak universiti juga mengakui protes itu mendapat kebenaran polis. Bagaimanapun, kebenaran itu kemudiannya ditarik balik.

Disebabkan itu dan atas nasihat peguam universiti, Bahagian Keselamatan UTM diarahkan untuk mendapat maklumat lanjut tentang protes itu.

“Sesi temubual itu dijalankan menurut peraturan universiti yang menetapkan ia perlu dibuat untuk kejadian yang tidak memenuhi peraturan dan undang-undang universiti,” kata kenyataan lagi.

“Pihak universiti, bagaimanapun, tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan tata tertib kepada pelajar terbabit.”

Pada 9 April lalu, hampir 200 pelajar mengadakan protes di depan pintu masuk UTM KL untuk membantah kenaikan mendadak yuran untuk pelajar ambilan September 2016/2017 dan ke atas.

Peningkatan itu menyebabkan yuran naik lebih 400% mencecah RM5,000.

Pelajar semester pertama perlu membayar RM2,771 yuran khas, sementara pelajar sementer kedua dan ke atas perlu membayar RM3,971. – 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen