UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) dikecam kerana membenarkan “soal siasat” ke atas sekumpulan pelajarnya selama enam jam tanpa henti kerana protes kenaikan yuran pengajian.
Pelajar UTM sedang menjalani musim peperiksaan ketika ini.
Kumpulan pelajar, Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) berkata soal siasat tiga pelajar ahli kumpulan MJIIT Voices itu dilakukan pada Rabu oleh sekumpulan polis bantuan dan pengurusan universiti di kampus UTM, Jalan Semarak Kuala Lumpur.
“MJIIT Voices sudah banyak berjuang untuk melawan kenaikan yuran yang melampau. Bagaimanapun, sesetengah pihak termasuk Kementerian Pendidikan memandang ringan isu melibatkan kebajikan dan hak pelajar,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Soal siasat terhadap tiga pelajar itu bermula jam 5 petang sehingga jam 11 malam.
Menyifatkan langkah itu mencabuli hak asasi manusia, GPA berkata ia dilakukan walaupun pengurusan universiti sedar pelajar sedang menjalani peperiksaan akhir mereka.
“Mereka sepatutnya menghormati pelajar ketika musim peperiksaan, terutama sekali dalam bulan Ramadan, tetapi polis bantuan meneruskan siasatan tanpa henti.
“Pelanggaran hak pelajar oleh semua pihak termasuk pengurusan universiti perlu dihentikan serta merta.”
Selain itu, pelajar juga dimaklumkan soal siasat itu dijalankan secara tertutup, berbanding amalan biasa ia dijalankan secara terbuka untuk mengelak salah guna kuasa pengurusan universiti.
Menurut GPA lagi, pihak pengurusan juga mengugut untuk mengambil tindakan kepada pelajar menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
“Akta lapuk itu tidak lagi wajar digunakan sehingga sekarang untuk mengekang kebebasan akademik pelajar.”
GPA mendesak Kementerian Pendidikan terutama jawatankuasa yang diberikan mandat menyemak semula Auku untuk mengambil tindakan terhadap UTM kerana kegagalannya menyelesaikan perkara itu dengan cara dan kaedah yang sesuai.
Tambahnya lagi, kerajaan juga perlu meneruskan hasrat memansuhkan akta tersebut tanpa bertangguh lagi.
The Malaysian Insight sudah meminta komen daripada pengurusan UTM dan sedang menunggu jawapan. – 30 Mei, 2019.
Komen