Kami diancam kerana bantah kenaikan yuran, kata pelajar UTM


Ragananthini Vethasalam

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dituduh cuba mengancam pelajar yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi untuk membantah kenaikan yuran di salah satu institutnya. – Gambar Facebook, 31 Mei, 2019.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) telah dituduh cuba mengancam pelajar yang baru-baru ini mengadakan demonstrasi untuk membantah kenaikan mendadak yuran di salah sebuah institutnya.

Tiga pelajar dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIT) UTM dikatakan telah disoal siasat oleh polis bantuan universiti itu pada Rabu lalu selepas mengadakan demonstrasi di luar pintu masuk institusi berkenaan bulan lepas.

Tan Cheng Siong salah seorang yang disoal siasat memberitahu The Malaysian Insight bahawa ia mencerminkan kelemahan universiti untuk menyelesaikan konflik berkenaan.  

Menyatakan kekecewaannya, pelajar berusia 22 tahun itu berkata, mereka sudah penat mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yuran yang tinggi.

“Ini menunjukkan UTM tidak mahu menyelesaikan masalah itu sebaliknya cuba berdiam diri dan mengancam pelajar dari menyuarakan kebimbangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Walaupun kami telah cuba semuanya, ini jawapan yang diterima. Kami kecewa dengan apa yang dilakukan UTM semalam,” katanya.

Pada 9 April lalu, kira-kira 200 pelajar mengadakan demonstrasi di hadapan kampus UTM KL selepas mendapati bayaran khas akan dikenakan ke atas pelajar yang telah mendaftar bagi pengambilan September 2016/207.

Yuran semester meningkat lebih 400% kepada RM5,000 berikutan yuran khas yang dikenakan.

Pelajar semester pertama perlu membayar RM2,771 sebagai yuran khas manakala mereka yang berada di semester kedua perlu membayar RM3,971.

Kumpulan pelajar Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sedang meneliti demonstrasi berkenaan.

Universiti menuduh Tan mengetuai demonstrasi itu tetapi katanya beliau hanya memperjuangkan nasib 600 pelajar MJIIT.

“Kami menerima permintaan tidak rasmi daripada Jabatan Keselamatan Universiti pada 13 Mei untuk memberikan kenyatan. Ia dihantar melalui SMS tanpa surat rasmi.

Ketika meminta surat, Jabatan Keselamatan bertindak balas dengan mengatakan mereka akan mengeluarkan waran.

Universiti kemudian mengeluarkan surat rasmi pada 21 Mei memanggil pelajar untuk merekodkan kenyataan mereka.

Pelajar tahun kedua Kejuruteraan Mekanikal itu tidak pasti sekiranya terdapat siasatan lanjut akan dibuat.

Pihak yang menyoal siasat tidak memberikan sebab tertentu untuk merekodkan kenyataan itu dan tidak menentukan kesalahan yang dilakukan.

“Mereka cuba mengancam kami secara lisan untuk menutup perkara ini,” katanya.

Tan berkata, kumpulan pelajar terpaksa mengadakan demonstrasi setelah semua percubaan menyelesaikan konflik melalui laporan dan petisyen tidak diambil peduli.

“Kami menghantar dua laporan, dua petisyen dengan lebih 800 tandatangan pelajar melalui emel dan hard copy. Saya juga telah pergi ke UTM Johor (kampus utama) untuk mengemukakan petisyen,” katanya.

The Malaysian Insight sedang menunggu komen daripada pengurusan UTM berkenaan isu itu.

Berkenaan yuran khas yang dikenakan, Naib Canselor MJITT Dr Wahid Omar berkata pada Januari, yuran khas itu diperlukan untuk membiayai perbelanjaan operasinya apabila institut itu mempunyai defisit sebanyak RM4.2 juta.

Wahid berkata, MJIIT berfungsi daripada model pembiayaan sendiri tanpa subsidi daripada kerajaan dan UTM.

“MJIIT diberikan autonomi sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan dari segi pengurusan kewangannya dan perlu menguruskan operasi serta kos penyelenggaraanya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, UTM kini merangkumi 58% daripada kos yang ditanggung oleh MJIIT.

Universiti perlu mengeluarkan RM1.8 juta untuk emolumen yang dibayar kepada 13 kakitangan akademik yang dibawa dari Jepun di bawah kontrak. – 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen