PENYOKONG Akmal Nasir dalam Pemuda PKR menyangkal pandangan anggota akar umbi yang mempersoal kepimpinan serta kemampuan ketua sayap parti itu mengendali program.
Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol mempertahankan kepemimpinan Akmal itu yang menurutnya berkesan dalam mengatur program akar umbi di negerinya.
“Hendak mengukur kepimpinan melalui program tidak patut kerana ia terlalu subjektif. Lebih baik kita selidik dulu bagaimana akar umbi bergerak (bawah pimpinan Akmal)
“Sebagai contoh di Pulau Pinang program akar umbi berjalan seperti biasa. Cuma kita hebahkan di platform media sosial dan bersederhana saja,” kata Fahmi kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, ia tidak wajar diukur melalui pengisian program semata-mata dan akar umbi sepatutnya melihat Akmal berjiwa besar dan terbuka dalam merai perbezaan pendapat.
Selain itu, Akmal juga lantang suara dalam menegur kerajaan selain memberikan idea pembangunan anak muda, katanya.
Kritikan ke atas Akmal timbul apabila ahli Parlimen Johor Bahru itu menegur satu acara berbuka puasa anjuran timbalannya Hilman Idham yang didakwa dibuat secara berpesta-pestaan.
Penyokong Hilman yang tidak berpuas hati dengan teguran itu seterusnya mempersoal acara anjuran Akmal untuk berbuka puasa di rumah ibadat Sikh.
Perang mulut antara penyokong masing-masing berlarutan sehingga kini yang memperlihatkan bahawa sayap parti itu masih bersengketa walau enam bulan berlalu selepas pemilihan parti.
Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun semalam cuba meredakan suasana dan menyifatkan perang mulut tersebut sebagai perkara biasa dan tidak mengganggu parti.
Seorang lagi pemimpin Pemuda PKR negeri, Najwan Halimi berpendapat isu kepemimpinan Akmal tidak sepatutnya dipersoal pada masa ini kerana mereka baru enam bulan berkhidmat.
“Adalah tidak adil untuk menghakimi kepimpinan barisan AMK yang baru masuk 6 bulan. Akmal saya lihat komited mengadakan mesyuarat walaupun sibuk sebagai ahli parlimen.
“Beliau juga agresif dalam menyentuh isu nasional melibatkan anak muda selain tidak meremehkan pendapat akar umbi. Mesyuarat tetap berjalan dan disiplin organisasi ada,” katanya.

Ketua Pemuda PKR Selangor itu juga menganggap Akmal berjiwa besar kerana tidak mengutamakan kem dalam parti itu dalam melantik jawatan dalam sayap parti.
Adun Kota Anggerik yang merupakan pencabar Akmal sewaktu pemilihan ketua Pemuda PKR tahun lalu itu seterusnya menyeru sayap parti menggembleng tenaga untuk gerak kerja akar umbi.
Katanya, kerja-kerja melibatkan akar umbi tidak harus ditangani kelompok dalam kem masing-masing sahaja sebaliknya perlu diselaras timbalan ketua Pemuda PKR.
“Jika Akmal dilihat kurang agresif di peringkat akar umbi, di situlah peranan timbalan untuk membantu dalam menyelaras kerja dan janganlah bersifat kelompok.
“Kita perlu fokus dan rangkul segala kekuatan dan bergerak maju dalam satu pasukan yang kuat,” katanya.
Tidak pernah hadir mesyuarat
Semakan dengan para pemimpin sayap itu seterusnya mendapati, punca pertelagahan dalaman berlarutan adalah sikap penyokong Hilman yang didakwa enggan memberikan kerjasama.
Satu sumber yang memegang jawatan pimpinan pusat PKR berkata, penyokong Hilman malah tidak pernah hadir untuk bermesyuarat bersama dalam exco Pemuda.
“Mereka masih lagi tidak mahu berikan kerjasama. Mesyuarat tidak datang. Kalau ada datang pun 10 minit dah nak habis baru nak tunjuk muka.
“Pemilihan sudah berakhir dan sepatutnya ini masa bersatu bangunkan sama-sama.
“Semua nak tunjuk kepala sendiri. Boleh dikatakan lebih 10 exco yang menang sewaktu bersama regu Hilman dalam pemilihan tak pernah datang mesyuarat,” kata sumber yang enggan dinamakan.
Beliau juga melihat kalangan pengikut Hilman dalam Pemuda PKR itu lebih minat bertindak sendiri di luar daripada sayap tersebut.
“Mereka buat pertubuhan mereka sendiri, ini tidak sepatutnya berlaku,” kata pemimpin PKR negeri iu lagi.
Sementara itu, seorang lai ahli Pemuda PKR berkata pergeseran yang berlaku menunjukkan sikap tidak matang dan hanya akan merugikan sayap parti ittu.
“Mereka kata mereka kuat dan hebat. Tetapi tidak mahu berjiwa besar dan beri kerjasama. Ini sangat merugikan.
“Kita sudah jadi pemuda parti kerajaan perlu bersatu dan bukannya bawa agenda peribadi,” kata seorang Ketua Pemuda cabang Selangor itu yang enggan dinamakan. – 29 Mei, 2019
Komen