6 bulan selepas pemilihan, Pemuda PKR masih berpecah


Nabihah Hamid

Ketua AMK Akmal Nasir dan timbalannya, Hilman Idham saling sindir-menyindir di media sosial selepas sidang media Anwar Ibrahim pada Ahad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019.

ENAM bulan selepas pemilihan parti yang penuh drama dan berpecah belah, Pemuda PKR masih terbelenggu dalam sengketa, pemimpinnya belum bersatu manakala pergerakan sayap itu masih tidak sehaluan, kata beberapa ahli parti.

Teguran presiden parti Anwar Ibrahim kelmarin berhubung majlis buka puasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) sehari sebelumnya, yang didakwa seperti pesta, hanya mendedahkan pergolakan dalam sayap itu.

Selepas sidang media Anwar menjelang waktu berbuka puasa pada Ahad, ahli dan pemimpin Pemuda dari kem Ketua AMK Akmal Nasir dan timbalannya, Hilman Idham saling sindir-menyindir di media sosial.

Seorang pemimpin muda PKR di Selangor mempersoalkan kewajaran teguran Anwar sehingga meminta maaf secara terbuka bagi pihak parti sedangkan perkara yang beliau bangkitkan itu bukanlah seperti yang digambarkan.

“Presiden perlu rasional. Kenapa tidak panggil berbincang dan siasat. Kalau sudah tegur dalam mesyuarat kenapa perlu buat kenyataan terbuka?” kata seorang pemimpin muda yang bercakap kepada The Malaysian Insight dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Jelas pemimpin muda itu, tindakan Anwar mengetengahkan bantahan terhadap majlis buka puasa itu tidak menyatukan parti sebaliknya memburukkan lagi keadaan yang sedia tidak pulih, enam bulan selepas pemilihan yang pecah belah.

“Sepatutnya beliau menyatukan bukan memecahbelahkan lagi. Boleh saja nasihat supaya kedua-dua (Akmal dan Hilman) berdamai,” tambah sumber.

Semasa pemilihan parti, Akmal bersama dalam kem Rafizi Ramli sementara Hilman dalam kem Mohamed Azmin Ali, yang bersaing untuk jawatan timbalan presiden PKR.

Pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada Ahad, Anwar mendedahkan pihaknya menerima bantahan daripada orang tertentu yang kesal dengan majlis buka puasa anjuran Pemuda PKR “dengan acara pesta-pestaan, lagu dan bunga api.”

“Saya minta maaf atas keterlanjuran ini,” kata Anwar pada sidang media yang juga disiarkan melalui Facebook.

The Malaysan Insight difahamkan majlis berbuka puasa Iftar Perdana AMK Malaysia itu disekalikan dengan rakaman takbir hari raya serta diserikan dengan nyanyian lagu hari raya dan bunga api, yang dibuat hanya 30 minit pada penutup majlis dan selepas solat terawih.

Majlis berbuka puasa itu juga sebelumnya diisi dengan pelbagai program keagamaan termasuk tazkirah.

Beberapa foto dan rakaman video majlis berbuka puasa itu turut tersebar di media sosial.

“Presiden patut siasat dulu dan bukan buat kenyataan secara terbuka. Ini bukan konsep keadilan,” kata seorang lagi sumber sayap PKR.

Sumber itu bertanya, kenapa hanya segmen di penghujung majlis yang dipersoalkan, sedang pelbagai pengisian keagamaan tidak disebut sehingga memberikan gambaran dan tanggapan salah kepada umum.

“Saya sendiri hadir ke majlis itu dan tiada pula suasana berpesta,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan nyanyian lagu raya dan bunga api pada penghujung majlis adalah bagi tujuan rakaman video untuk sebaran sempena hari raya nanti.

Hilman dalam satu kenyataan semalam berkata sebagai timbalan ketua AMK yang dipilih secara sah, beliau mengambil tanggungjawab penuh atas program tersebut.

Katanya, beliau menerima teguran Anwar secara terbuka dan sudah menjelaskan keadaan yang sebenar.

“Ternyata aduan yang disampaikan tidak menyeluruh dan sama sekali meleset,” katanya.

Menurut Hilman, beliau juga sudah memaklumkan kepada Anwar, program AMK sempena bulan Ramadan di Johor minggu depan akan diteruskan.

“Insya-Allah, AMK tuntas berpegang teguh kepada ajaran Islam serta akar jati diri dan tradisi kebudayaan Melayu,” katanya.

Sementara itu, penyokong Akmal mendakwa program yang dianjurkan bukan program sayap parti tetapi digerakkan oleh Hilman sendiri atas nama AMK. 

“Benar kami dijemput, tapi itu bukan program AMK,” kata seorang pemimpin negeri yang juga enggan dikenali.

Seorang lagi pemimpin sayap negeri berkata pelbagai tindakan Hilman dalam tempoh enam bulan lalu selalu membelakangkan Akmal dan membayangkan beliau masih terbelenggu dengan konflik semasa pemilihan parti.

“Dia sengaja nak pecahkan lagi AMK. Masih tidak mahu ‘move on’ daripada pemilihan. Apa saja yang dibuat hanyalah untuk dirinya. Beliau gunakan jawatan AMK dan membelakangkan Akmal.

“Beliau juga jarang komited untuk datang mesyuarat exco AMK, hanya hadir pada hujung mesyuarat ketika mesyuarat hampir selesai,” kata seorang pemimpin sayap pemuda negeri.

Dakwaan dalam kalangan pemimpin muda PKR itu mengimbau trauma pertembungan dua kem semasa AMK dipimpin oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dan Dr Afif Bahardin sebagai timbalannya.

Mereka berdua bukan regu semasa pemilihan parti sebaliknya mewakili dua kem yang dilihat terus tidak sebulu sepanjang tempoh mandat antara 2014 dan 2018.

Semasa pemilihan parti November lalu, Hilman menang jawatan timbalan ketua AMK tetapi Afif yang jadi regunya kalah tipis jawatan ketua kepada Akmal.

Dalam pada itu, Hilman menangkis dakwaan beliau kini meneruskan gaya bergerak sendiri-sendiri seperti AMK pada era kepimpinan sebelum ini.

Katanya, program yang beliau atur adalah kerja di peringkat akar umbi sebagai seorang pemimpin sayap yang dipilih secara sah oleh ahli.

“Program yang saya buat adalah atas kedudukan saya sebagai timbalan yang sah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya ingin ingatkan, janganlah kita remehkan kerja dan usaha orang lain kalau kita sendiri gagal buat perkara yang sama,” tambahnya. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen