Pemuda PKR gaduh sikit biasalah, kata Anwar


Nabihah Hamid

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, perbezaan pandangan itu adalah mengenai perkara remeh yang tidak melibatkan soal dasar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2019

PERTELAGAHAN yang berlaku di antara dua kem dalam sayap Pemuda PKR bukan perkara serius tetapi hanya perbezaan pendapat, kata presiden parti itu Anwar Ibrahim.

Katanya, perbezaan pandangan itu adalah mengenai perkara remeh yang tidak melibatkan soal dasar dan mesyuarat dan kerja sayapnya itu tetap berjalan seperti biasa seperti pada Ahad lalu.

Kontroversi yang timbul pula hanya mengenai satu acara berbuka puasa anjuran Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham pada Sabtu, kata Anwar lagi dalam satu sidang media hari ini.

“Yang jadi kontroversi sedikit tentang kegiatan timbalan ketua AMK buat majlis. Tiadalah masalah sangat. Janganlah larang sampai mereka tak boleh bercakap.

“Saya tidak fikir dalam parti kita harus mengekang kebebasan. Cuma soal prinsip dan dasar itu lain. Tapi saya tengok tidak ada perbezaan daripada soal dasar. 

“Mesyuarat semua jalan elok, belakang gaduh sikit biasalah,” katanya lagi mengulas mengenai perang mulut anara Hilman Idham serta ketua Pemuda PKR Akmal Nasir di media sosial.

Mengulas mengenai majlis berbuka puasa yang didakwa diadakan secara pesta-pestaan itu, Anwar berkata pihaknya maklum bahawa terdapat program keagamaan yang diselitkan. 

Anwar yang berkata sudah menerima penjelasan Hilman dan menegaskan beliau tidak bersetuju dengan acara nyanyian dan bunga api pada malam Ramadan.

“Kita tak nafi majlis itu buka puasa, ada terawih tapi kita tegur ada kugiran dengan bunga api. Itu saja. Dan dia pun bagi penjelasan kita pun terima baik,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu. 

Perang mulut di antara Hilman dan Akmal Nasir itu dilihat sebagai antara petanda bahawa kedua-dua kem masih bercakaran dan tidak bersatu meskipun sudah 6 bulan pemilihan berakhir. 

Sejak Isnin lalu, ramai ahli AMK dari setiap negeri masing-masing melakukan serangan terhadap Akmal dan Hilman. 

Perang mulut di antara penyokong dan pemimpin sayap berkenaan melalui kenyataan media dan juga laman di laman sosial Facebook berlarutan sehingga kini. – 28 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen