3 sayap negeri nafi terlibat "pesta buka puasa" timbalan Pemuda PKR


Hilman Idham yang juga wakil rakyat Gombak Setia, menjelaskan program pada Ahad itu turut disertai penceramah agama yang menyampaikan tazkirah selain solat berjemaah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2019.

TIGA sayap Pemuda PKR negeri menggesa Timbalan Ketua Pemuda Hilman Idham mengambil serius teguran Presiden Anwar Ibrahim mengenai majlis berbuka puasa beliau yang didakwa mencemarkan kesucian bulan Ramadan.

Pemimpin Pemuda PKR Kedah Wan Muhammad Asyqal Wan Abd Razak menafikan pihaknya terlibat dalam program tersebut namun berharap teguran pimpinan tertinggi diterima untuk memperbaiki diri masing-masing.

“Tujuan teguran bukan bermakna membenci atau menghina, hanya cuma ingin membaik pulih dan menambah baik imej pada mereka yang memerhati.

“Akur dengan teguran bukan bermakna salah, hanya tanda matang dalam berfikir, hormat dan percaya pada Sang Ketua yang berkata-kata. Terima dengan hati terbuka agar dijadikan pengajaran dan penambahbaikan di hari kemudian,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) Pemuda Kedah.

Pimpinan Pemuda PKR Selangor Adzman Kamaruddin pula berkata program tersebut adalah atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan sayap parti di peringkat nasional.

“AMK (Pemuda) Selangor menafikan sebarang penglibatan di dalam program seumpama ini dan difahamkan bahawa acara ini merupakan acara persendirian bersifat peribadi yang dianjurkan oleh timbalan ketua AMK Malaysia kepada penyokong-penyokong beliau serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan organisasi AMK Malaysia secara keseluruhannya.

“Kami menyeru seluruh anggota AMK Selangor khususnya yang beragama Islam untuk menumpukan diri menghayati hari-hari terakhir bulan Ramadan ini dengan pengisian amalan sunat seperti bersolat Tarawih, membaca Al-Quran dan memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan,” kata pengarah komunikasi Pemuda PKR Selangor itu.

Dalam pada itu kepimpinan Pemuda PKR Terengganu pula dukacita dengan penganjuran majlis yang didakwa “pesta” lebih-lebih lagi menjelang 10 malam terakhir ramadhan.

Jangan cemari kesucian Ramadan

“AMK Terengganu menafikan penglibatan kami dengan program ini dan seharusnya seluruh AMK Malaysia menerima teguran ini dengan hati terbuka dan tidak mengulanginya lagi di masa akan datang.

“Kami menyeru seluruh anggota AMK khususnya AMK Terengganu untuk menghormati bulan ramadhan ini dan mengambil peluang sebaik baiknya dalam 10 malam terakhir ramadhan ini untuk menjadi hamba yang lebih bertaqwa,” katanya Setiausaha Pemuda PKR Terengganu, Rahimi Mokhtar dalam satu kenyataan.

Semalam, Anwar secara terbuka memohon maaf bagi pihak parti ekoran kecaman terhadap majlis berbuka puasa sayap pemuda itu yang dianggap tidak menghormati makna sebenar bulan Ramadan.

Anwar menegur penganjur acara itu, yang menampilkan persembahan lagu dan bunga api yang disamakan dengan suasana “pesta-pestaan”.

Namun Hilman, yang juga wakil rakyat Gombak Setia, menjelaskan program pada Ahad itu turut disertai penceramah agama yang menyampaikan tazkirah selain solat berjemaah.

Acara yang didakwa hiburan hanyalah nyanyian lagu raya selain nyalaan bunga api selepas solat sunat terawih. – 27 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen