PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh terikut-ikut dengan rentak pembangkang Umno dan PAS bermain sentimen dan kebimbangan orang Melayu sebagai jalan untuk kembali berkuasa, kata Daim Zainuddin.
Kerajaan sebaliknya perlu menetapkan agendanya sendiri dan menunjukkan kepada rakyat tanpa mengira kaum akan wajah sebenar pentadbirannya yang baik dan adil, katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight minggu ini.
“Tunjukkan yang kamu (PH) berjuang untuk semua rakyat Malaysia, bahawa tadbir urus kamu semuanya tentang nilai sejagat yang diterima semua agama,” katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Menara Ilham, Kuala Lumpur.
Daim ditanya pandangannya terhadap kerajaan PH yang kelihatan dihambat sentimen Melayu dan Islam yang dimainkan gabungan baru pembangkang Umno dan PAS, serta beberapa pertubuhan yang mendukung dua parti politik itu.
Menurut Daim PH perlu mengelak daripada “ditunjuk-tunjuk oleh retorik pembangkang”.
PH sebaliknya perlu duduk berbincang sesama mereka, mengenal pasti dan seterusnya memperkenalkan program ekonomi dan kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat merentas kaum dan agama.
“Tunjuk pada rakyat yang kamu kerajaan prihatin. Yang kamu ini kerajaan rakyat. Kamu dengar suara rakyat. Dekat dengan rakyat,” kata bekas penasihat kerajaan itu.
Daim mengetuai jawatankuasa lima penasihat kerajaan semasa 100 hari pertama pentadbiran Pakatan Harapan antara Mei dan Ogos tahun lalu.

Sejak Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi Februari lalu, dua parti itu bergerak di serata negeri mengadakan sesi penerangan isu semasa atas nama penyatuan ummah.
Dua parti itu juga dalam tempoh enam bulan lalu mendukung dua perhimpunan atas nama Melayu, Islam dan raja-raja bertujuan membantah hasrat kerajaan mengesahkan dua perjanjian antarabangsa mengenai hak asasi manusia.
Penganalisis politik melihat perhimpunan atas nama Melayu, Islam dan raja-raja itu sebagai usaha pembangkang membentuk gerakan rakyat, sama seperti perhimpunan Bersih kepada PH dahulu.
Perhimpunan pada Disember tahun lalu dibuat membantah cadangan Putrajaya meratifikasi perjanjian antarabangsa mengenai anti diskriminasi (ICERD) sementara perhimpunan minggu lepas menentang penyertaan Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Mereka mendakwa pengesahan ICERD akan menghakis hak keistimewaan Melayu sementara penyertaan Malaysia ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa menjejaskan kedaulatan raja-raja.
Kedua-dua perhimpunan itu bagaimanapun dibuat ketika kerajaan sudah mengumumkan tidak jadi mengesahkan dokumen antarabangsa berkenaan.
Pakar undang-undang perlembagaan juga menegaskan kebimbangan orang Melayu dan Islam serta ketakutan yang disebarkan parti politik mengenai pengesahan dokumen antarabangsa itu tidak berasas.
Menulis di blognya semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertanya apakah perhimpunan itu untuk mempertahankan Islam dan Perlembagaan Persekutuan atau untuk meraih sokong bagi parti politik – merujuk Umno dan PAS.
Sementara itu, Daim tidak setuju dengan pandangan bahawa keputusan Putrajaya berundur daripada dua perjanjian antarabangsa itu isyarat kerajaan lemah dan memberi gambaran ia senang diugut oleh pembangkang.
Katanya, apa yang berlaku dalam isu ICERD dan Statut Rom harus jadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperbaiki strategi dan komunikasi.
“Kalau ada isu seperti ini, pergi kepada rakyat dan jelaskan kepada mereka. Kalau rakyat suka, mereka akan terima.
“Kerajaan perlu mula-mula sekali terangkan kepada rakyat mengenainya dan bukan biar pembangkang tentukan naratifnya.” – 10 Mei, 2019.
Komen