Belum pernah ada raja didakwa bawah Statut Rom, kata Dr Shad


Sheridan Mahavera Lee Chi Leong Mikha Chan

Raja berpelembagaan hanya memerintah bukan mentadbir, mereka tidak dipertanggungjawabkan atas operasi pentadbiran, kata pakar perlembagaan Dr Shad Saleem Faruqi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 April, 2019.

TIADA raja-raja dalam mana-mana sistem berperlembagaan pernah didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah yang dilakukan tentera negaranya, kata pakar perlembagaan Dr Shad Saleem Faruqi.

Beliau menyebut contoh bagaimana diktator Kemboja, Pol Pot yang dihadapkan ke ICJ dan bukannya Putera Sihanouk.

Ini kerana raja berperlembagaan tidak bertanggungjawab atas jenayah perang yang dilakukan oleh tentera sesebuah negara oleh sebab mereka tidak menyeliakan operasi ketenteraan, walaupun dinamakan sebagai “pemimpin tertinggi tentera”,” kata profesor emeritus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

“Raja berperlembagaan hanyalah satu kedudukan yang rasmi dan bukannya kedudukan dari segi fungsi. Beliau memerintah tetapi tidak mentadbir.

“Raja-raja tidak bertanggungjawab dari segi operasi atas tindakan angkatan tentera,” katanya pada Forum Malaysia dan Statut Rom di Kuala Lumpur, hari ini.

Forum turut membariskan Peguam Negara Tommy Thomas; sarjana antropologi dan sosiologi, Syed Husin Ali; jurucakap Kumpulan G25, Noor Farida Ariffin; peguam Lim Wei Jiet dan aktivis mahasiswa Asheeq Ali Sethi Alivi.

Shad menjawab salah satu hujah utama pengkritik Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk menolak dokumen antarabangsa itu.

Empat pensyarah sebelum ini dilaporkan membentangkan hujah kepada Majlis Raja-Raja mendakwa penyertaan Malaysia dalam Statut Rom bakal menggugat kedudukan mereka. – 26 April, 2019.

Shad Saleem berkata setakat ini, terdapat 44 dakwaan terhadap ketua-ketua negara di bawah ICC tetapi tidak ada seorang yang memiliki sistem raja berperlembagaan, kerana mereka tidak termasuk di bawah perjanjian itu.

Satu lagi contoh baru-baru ini ialah bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair dan pemerintah British, Queen Elizabeth.

“Terdapat kempen untuk bawa England ke ICC kerana pencerobohan ke atas Iraq (pada tahun 2003) dan orang yang mereka dakwa ialah Blair.

“Tidak ada sebutan pendakwaan terhadap Ratu Elizabeth walaupun beliau adalah komander tertinggi pasukan British,” katanya lagi

Sepanjang forum itu, Shad Saleem juga menegaskan bahawa raja Melayu boleh dibawa ke ICC kerana kerajaan mengharamkan homoseksual dan turut mendakwa minoriti seksual.

Ini kerana ICC hanya meliputi pembunuhan beramai-ramai tertentu, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

“Tiada apa-apa dalam Statut Rom yang menyebut mengenai LGBT atau minoriti seksual. Oleh itu, tidak ada jalan untuk dakwa Agong, kerana undang-undang Malaysia menyatakan homoseksualiti adalah jenayah. “

Shad Saleem berkata Malaysia harus mengesahkan perjanjian itu supaya ia boleh melakukan pendakwaan terhadap pihak yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada tahun 2014.

Keahlian ICC juga akan dapat membantu dalam mendakwa mereka yang berada di belakang pembunuhan beramai-ramai di negara jiran Myanmar, yang mencetuskan krisis pelarian yang turut memberi kesan terhadap Malaysia. – 27 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen