Himpunan ummah usaha Umno, PAS menang semula Putrajaya, kata penganalisis


Sheridan Mahavera Nabihah Hamid

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam semalam adalah sebahagian usaha membentuk sebuah gerakan rakyat, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

UMNO dan sekutunya mencetuskan gelombang kesedaran baharu Melayu dan Islam dalam rangka usaha untuk kembali berkuasa menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata ahli akademik dan penganalisis politik.

Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam semalam adalah sebahagian usaha membentuk sebuah gerakan rakyat, sama seperti perhimpunan Reformasi dan Bersih yang membantu mengangkat Pakatan Harapan ke Putrajaya, kata mereka.

Tiga perkataan – Melayu, Islam dan Raja – kini jadi slogan baru gerakan pembangkang Malaysia yang diterajui oleh Umno dan PAS, dan disertai pertubuhan hak Melayu seperti Gerakan Pembela Ummah.

Mereka berkata walaupun gerakan itu dibangkitkan dengan momok dan mitos, itu tidak penting kerana apa yang lebih penting bagi Umno dan PAS, mereka sudah jumpa kelemahan PH dan kelemahan itu sedang mereka tunggang.

“Dua parti ini berkesan apabila mereka menggunakan politik haluan kanan untuk dapatkan sokongan,” kata pensyarah sains politik Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.

Beliau menambah sentimen Melayu, Islam dan raja-raja Melayu itu cukup berkesan untuk menggerakkan sokongan.

Gerakan itu bermula dengan perhimpunan membantah cadangan kerajaan mahu mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Disember tahun lalu.

Perhimpunan yang dianjurkan Ummah dan beberapa pertubuhan lain mendakwa dokumen antarabangsa itu akan menghapuskan keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Pengkritik perhimpunan itu bagaimanapun mempertikaikan rasional penganjur yang meneruskan rapat umum selepas Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi ICERD.

Perhimpunan semalam mengulangi cerita sama – Putrajaya mahu menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa tetapi Ummah menegaskan ia tetap meneruskan protes.

Kedua-dua perhimpunan itu disertai umumnya ahli Umno dan PAS, termasuk yang memakai pakaian tertera nama bahagian atau kawasan dan negeri asal mereka.

Walaupun gerakan itu dibangkitkan dengan momok dan mitos, bagi Umno dan PAS, mereka sudah jumpa kelemahan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Momok terancam

Naratif Melayu dan Islam kini terancam, dan hanya Umno dan PAS sahaja yang boleh menyelamatkan kelompok itu mustahak untuk survival politik dua parti Melayu itu dalam landskap baru politik Malaysia, kata seorang lagi pensyarah sains politik Dr Mazlan Ali.

Kajian Ilham Centre yang dibuat bersama Institut Pulau Pinang tahun lalu menunjukkan pengundi Melayu pada umumnya konservatif dan ada kecenderungan ke arah nasionalisme Melayu dan Islam.

Pada masa sama, keputusan PRU14 menunjukkan PH menang 15 kerusi Parlimen kerana undi Melayu pecah antara Umno dan PAS, kata Mazlan.

Beliau memberikan contoh kerusi Parlimen Pokok Sena yang dimenang calon PH Mahfuz Omar dan Parit Buntar yang dimenangi Dr Mujahid Yusof, kedua-duanya calon dari Amanah.

Kalau Umno dan PAS boleh menggerakkan sokongan untuk PRU15, mereka ada peluang untuk merampas kerusi itu, kata Mazlan.

Perhimpunan semalam mengulangi bantahan terhadap ICERD, kali ini mengkritik Putrajaya menarik diri daripada menyertai Statut Rom. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2019.

Namun untuk mendapatkan sokongan yang padu, pembangkang memerlukan platform yang boleh memenangi hati pengundi sasaran mereka, tambahnya.

Platform “Melayu dan Islam terancam” mudah difahami oleh Melayu yang merupakan pengundi majoriti, kata Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

“Kalau mereka mahu gunakan saluran konvensional seperti Parlimen dan media termasuk media sosial, kesannya tidak akan besar,” kata Awang Azman.

“Jadi untuk lebih popular, mereka buat tunjuk perasaan. PH dulu pun gunakan Bersih untuk mendapatkan sokongan rakyat sebelum PRU14,” kata pensyarah politik dan budaya di Akademi Pengajian Melayu itu.

Perhimpunan Bersih yang diadakan antara 2011 dan 2016 dianjurkan kerana kerajaan yang diterajui Umno pada masa itu memekakkan telinga kepada seruan membersihkan pilihan raya.

Namun ada beza antara pakatan PH dan Bersih dengan gabungan Umno dan PAS, kata Mazlan. Yang satu kerana ada kegagalan pada sistem sementara yang satu lagi atas ketakutan yang dimomok-momokkan, katanya.

“Dalam kes ICERD dan Statut Rom, mereka membuat perhimpunan selepas kerajaan memutuskan tidak meneruskan cadangan ratifikasi,” kata Mazlan. – 5 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen