PAS kini dahului Umno sebagai pelindung isu Melayu, Islam


Chan Kok Leong

Felo dan Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata orang Melayu-Islam secara umumnya mendapati naratif Islam oleh Pakatan Harapan terlalu sukar diterima. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Januari, 2019.

PAS mendahului Umno sebagai pelindung kepada isu mengenai Melayu dan Islam, dedah satu tinjauan terhadap 2,614 orang Melayu-Islam.

“Hampir 30% orang Melayu-Islam memilih PAS sebagai pelindung utama isu Melayu dan Islam berbanding hanya 27% untuk Umno,” kata Felo dan Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim malam tadi.

Berbanding PAS dan Umno, PKR menduduki tempat ketiga pada 17% diikuti oleh Bersatu (4%) dan Amanah (3%), kata Yusri.

Tinjauan mengenai sentimen Melayu-Islam dijalankan antara 1 Oktober hingga 24 Disember yang melibatkan 2,614 orang Melayu-Islam di seluruh negara.

Menurut Yusri, 34% Melayu-Muslim memilih Umno dan 29% PAS dalam kaji selidik yang sama dijalankan pada Ogos tahun lepas.

“Ini sebelum ahli Parlimen Umno mula keluar parti.”

Seramai 17 ahli Parlimen keluar Umno sejak pilihan raya pada Mei, meninggalkan parti itu dengan 37 orang.

Antara penemuan dalam laporan awal yang dilakukan bersama dengan Penang Institute adalah orang Melayu di negara ini umumnya konservatif.

“Ada yang cenderung ke arah nasionalisme Melayu manakala yang lain lebih nasionalisme Islam,” kata Yusri.

Walaupun konservatif, Yusri berkata orang Melayu masih terbuka terhadap idea demokratik.

Mengenai persoalan Tanah Melayu, 86.7% bersetuju orang Melayu adalah pemilik yang berhak. Pada masa yang sama, 83.5% juga berkata Malaysia milik semua rakyat.

Barisan panel yang mengambil bahagian dalam Forum Nadi Melayu: Nilai, Persepsi dan Sentimen Melayu-Muslim, di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 30 Januari, 2019.

Percanggahan tidak berakhir di situ, 72.3% bersetuju orang Cina dan India tidak sepatutnya meminta hak yang sama selagi mereka dibenar mengekalkan pendidikan dalam bahasa ibunda manakala 79.5% juga bersetuju semua rakyat Malaysia patut dilayan dengan adil.

Mengenai Islam pula, 83.9% berpendapat undang-undang syariah seharusnya menjadi undang-undang tertinggi negara ini tetapi 91.7% menyokong negara berbilang agama di mana semua agama lain boleh diamalkan secara bebas.

Kajian itu mengatakan orang Melayu-Islam pada umumnya mendapati naratif Islam oleh Pakatan Harapan (PH) terlalu sukar diterima.

“Kerajaan sekarang perlu menggambarkan imej yang lebih tepat dan tidak progresif kerana ia boleh disalah anggap sebagai liberal. PH tidak boleh pergi kepada golongan konservatif juga kerana ia sudah dipegang oleh PAS dan Umno.

“Walaupun nasionalisme Melayu lebih tinggi sekarang, kami menjangkakan nasionalisme Islam akan bangkit pada masa depan.”

Seorang lagi ahli panel Dr Faisal Hazis berkata ia akan mengambil masa untuk mengubah negara.

“Anda tidak boleh berharap untuk beralih kepada Malaysia Baharu selepas 61 tahun Malaysia Lama,” katanya.

Ahli panel lain termasuk Dr Wong Chin Huat daripada Penang Institute dan Dr Liyana Khairuddin. Sesi itu dimoderator oleh Mohd Izzuddin Ramli. Laporan penuh dijangka dikeluarkan bulan depan. – 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen