MB Johor dah letak jawatan, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan peletakan jawatan MB Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019

MENTERI Besar Johor Osman Sapian telah meletakkan jawatan, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau letak jawatan malam tadi,” kata perdana menteri kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir berkata, terdapat tiga hingga empat orang calon MB yang akan diajukan kepada Istana Johor.

Osman mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri semalam mencetuskan spekulasi beliau akan meletakkan jawatan, kurang setahun memegang jawatan itu.

Dr Mahathir berkata, Osman meletakkan jawatan menerusi surat yang diserahkan kepadanya.

“Beliau juga akan menyerahkan surat (peletakan jawatan) kepada Sultan Johor.

“Mengenai siapa yang akan menggantikan beliau, kami masih belum tentukan. Namun menurut perjanjian Pakatan Harapan, menteri besar mesti dilantik dari Bersatu.”

Ditanya mengapa Osman meletakkan jawatan, Dr Mahathir berkata, “Kami tidak mahu nyatakan lagi.

“Ada sebab yang diberikan. Beliau sudah letak jawatan dan kita terima.”

Ini adalah perletakan jawatan pemimpin kanan pertama Pakatan Harapan sejak parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 hampir setahun lalu. Johor adalah antara negeri tambahan yang dimenangi PH selain Kedah, Perak, dan Negeri Sembilan.

Awal Januari lalu, Osman dilihat menjejaskan rundingan Malaysia dan Singapura berhubung isu sempadan perairan apabila membuat lawatan ke kawasan yang dipertikaikan tanpa restu Wisma Putra.

Akibatnya, Singapura menghantar nota diplomatik pada 11 Januari dan sehari selepas itu menangguhkan mesyuarat tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai Iskandar Malaysia (JMCIM) dengan alasan lawatan Osman menyebabkan mesyuarat itu “tidak dapat diteruskan” lagi.

Osman menempelak langkah Singapura yang disifatkannya hanya dalih. Beliau mempertahankan lawatannya bukan provokasi dan mendakwa dibuat dalam pengetahuan Wisma Putra.

Lawatan Osman dibuat sehari selepas pertemuan Saifuddin dengan rakan sejawatnya Vivian Balakrishnan, yang mempersetujui penubuhan jawatankuasa bagi menangani pertikaian maritim.

Beliau kemudian jadi fokus kontroversi semasa kemuncak krisis pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang apabila meneruskan lawatan ke Batam, Indonesia.

Media hari ini turut melaporkan Istana Johor murka pada Osman kerana dikatakan belum lagi membentangkan pelan ekonomi negeri seperti dititah oleh Sultan Johor sejak beberapa bulan lalu.

Hari ini, Osman tidak menyertai pertemuan dua hala Perdana Menteri Malaysia dan Singapura yang berlangsung di Putrajaya.

Beliau sebaliknya diwakili Adun Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman, dalam satu kenyataan.

Ketidakhadiran Osman dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong hari ini menghangatkan lagi desas desus beliau akan melepaskan jawatannya.

Beberapa jam selepas mesyuarat Dr Mahathir dan Lee bermula, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menulis di Twitter mendedahkan Sultan Johor mahu menukar menteri besar negeri itu sejak beberapa bulan lalu tetapi sekarang ada pihak yang didakwanya tampil mendakwa kononnya mahu Osman ditukar.

Osman, 67, ialah Adun Kempas sejak 1999. – 9 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen