Putrajaya tidak berkenan MB Johor lawat kapal Jabatan Laut


Menteri Besar Johor Osman Sapian (tengah) ketika menaiki bot Jabatan Laut bagi melawat anggota yang bertugas di kapal MV Pedoman, di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura.– Gambar Facebook, 18 Januari, 2019.

WISMA Putra tidak pernah bersetuju dengan tindakan Menteri Besar Johor, Osman Sapian membuat lawatan ke sempadan perairan Malaysia yang kini jadi pertikaian dengan Singapura, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah atau timbalannya, Marzuki Yahya tidak pernah memberi restu akan lawatan Osman pada 9 Januari lalu, kata kenyataan itu, merujuk insiden yang menjejaskan lagi hubungan Malaysia dengan Singapura.

“(Wisma Putra) bimbang lawatan itu tidak produktif selepas hasil positif dan membina daripada mesyuarat dua hala antara Menteri Luar (Saifuddin) dan Menteri Luar Singapura sehari sebelumnya,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, selepas dapat tahu rancangan lawatan Osman daripada agensi penguatkuasaan Malaysia pada pagi 9 Januari itu, pegawai kementerian “dengan segera dan berkali-kali” menghubungi pejabat beliau memaklumkan agar lawatan tersebut dibatalkan.

Namun, Osman sudah menaiki kapal dan menuju ke pelabuhan Johor Bahru, kata Wisma Putra.

Akibatnya, Singapura menghantar nota diplomatik pada 11 Januari dan sehari selepas itu menangguhkan mesyuarat tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai Iskandar Malaysia (JMCIM) dengan alasan lawatan Osman menyebabkan mesyuarat itu “tidak dapat diteruskan” lagi.

Osman menempelak langkah Singapura yang disifatkannya hanya dalih. Beliau mempertahankan lawatannya bukan provokasi dan mendakwa dibuat dalam pengetahuan Wisma Putra.

Lawatan Osman dibuat sehari selepas pertemuan Saifuddin dengan rakan sejawatnya Vivian Balakrishnan, yang mempersetujui penubuhan jawatankuasa bagi menangani pertikaian maritim.

Malaysia juga setuju menggantung pelaksanaan kawasan larangan kekal ruang udara di Pasir Gudang manakala Singapura menggantung pelaksanaan sistem pendaratan instrumen di Lapangan Terbang Seletar, kedua-duanya bagi tempoh sebulan.

Namun perkembangan positif itu tergugat 24 jam kemudian apabila Osman mengunjungi anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di MV Pedoman.

Wisma Putra bagaimana pun menegaskan ia komited mengukuhkan hubungan dengan Singapura atas dasar kesamaan dan hormat bersama.

Awal minggu ini, Balakrishnan meneruskan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali di republik itu walaupun Singapura membatalkan mesyuarat JCMIM.

Azmin juga kemudian mengumumkan Malaysia dan Singapura akan berunding isu ruang udara Pasir Gudang pada 24 Januari ini. – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen