Dakwaan ceroboh sempadan helah tangguh JMCIM, kata MB Johor


Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata beliau mengunjungi anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di MV Pedoman, selain lawatanya diketahui Wisma Putra. – Gambar ihsan Pejabat Menteri Besar Johor, 13 Januari, 2019.

SINGAPURA hanya buat dalih menggunakan dakwaan pencerobohan perairan sebagai alasan untuk menangguhkan mesyuarat tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia (JMCIM), kata Menteri Besar Johor, Osman Sapian.

Osman dipetik Harian Metro berkata lawatan beliau ke kapal milik Jabatan Laut Malaysia, MV Pedoman tidak menceroboh kawasan perairan republik itu seperti yang didakwa.

“Saya mengadakan lawatan itu bukan satu isu, tidak masuk pun kawasan dia sehinggakan Singapura hendak batalkan mesyuarat pada 14 Januari ini, ia hanya alasan.

“Mereka hendak fikiran apa idea baru bukan saja perairan tetapi ruang udara Pasir Gudang dan Seletar (lapangan terbang),” katanya, seperti dipetik portal berita itu.

Sementara itu, Bernama memetik Osman berkata, lawatannya hanyalah mengunjungi anggota dan pegawai Jabatan Laut yang bertugas di MV Pedoman, dan lawatannya itu dalam pengetahuan Wisma Putra.

“Saya tiada niat melakukan provokasi ke atas negara jiran. Kita tiada niat untuk menceroboh. Kita boleh tunjuk pelan,” katanya, sekali lagi mengulangi penafian beliau menceroboh perairan Singapura.

Dakwaan ceroboh itu berbangkit ketika Malaysia dan Singapura terus terheret dalam pertikaian sempadan perairan selepas republik itu mempertikaikan had pelabuhan Johor Bahru yang digazetkan akhir Oktober lalu.

Semalam, Kementerian Luar Singapura mengumumkan mesyuarat JMCIM yang dijadual berlangsung esok ditangguhkan dan Malaysia bersetuju dengan cadangan republik itu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Singapura berkata, tindakan Osman menceroboh kawasan perairan Singapura dekat Tuas pada 9 Januari lalu menjadikan mesyuarat kali ke-14 itu “tidak dapat diteruskan.”

Lawatan Osman itu dibuat sehari selepas Malaysia dan Singapura setuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menangani pertikaian maritim.

Menteri Luar Malaysia dan Singapura pada Selasa mengadakan rundingan isu pertikaian ruang udara dan had pelabuhan maritim.

Hasil rundingan itu Malaysia setuju menggantung pelaksanaan kawasan larangan kekal ruang udara di Pasir Gudang manakala Singapura menggantung pelaksanaan sistem pendaratan instrumen di Lapangan Terbang Seletar, kedua-duanya bagi tempoh sebulan.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan yang ditangguhkan hanya mesyuarat tahunan JMCIM tetapi mesyuarat antara menteri yang dijadualkan sebelum ini berjalan seperti biasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dijadual bertemu dua menteri republik itu, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dan Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan untuk membincangkan isu-isu dua hala. – 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen