SULTAN Johor mahu menukar menteri besar (MB) negeri itu sejak beberapa bulan lalu tetapi sekarang ada pihak mendakwa kononnya mereka bertanggungjawab mahu Osman Sapian ditukar, kata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim.
Menulis di Twitter hari ini, Tunku Ismail juga berharap MB Johor yang baharu nanti bukan seorang tukang angguk kepada kerajaan persekutuan.
“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.
“Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking,” tulisnya di Twitter.
Saya harap Menteri Besar yang baru bukanlah ”yes man” Putrajaya saja. Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor mesti diutamakan. I hope the new Menteri Besar is not a “yes man” of Putrajaya. The welfare of the people and well being of the state must always be a priority.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) April 9, 2019
“Saya harap Menteri Besar yang baru bukanlah ”yes man” Putrajaya saja. Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor mesti diutamakan,” tambahnya.
Sejak beberapa hari lalu, timbul desas desus seorang menteri besar yang baru akan dilantik menggantikan Osman selepas pihak Istana Johor dikatakan kurang puas hati dengan cara beliau menguruskan negeri.
Osman hari ini tidak menyertai pertemuan dua hala perdana menteri Malaysia dan Singapura yang berlangsung di Putrajaya.
Beliau sebaliknya diwakili Adun Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, kata Setiausaha Akhbar kepada MB Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman, dalam satu kenyataan.
Sahruddin juga adalah antara nama calon yang disebut-sebut untuk menggantikan beliau.
Ketidakhadiran Osman dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong hari ini menghangatkan lagi desas desus beliau akan melepaskan jawatan menteri besar dalam masa terdekat.
Menurut laporan New Straits Times, Osman menimbulkan murka Sultan Johor berhubung cara beliau mengendalikan krisis pencemaran sisa kimia beracun yang dibuang ke Sungai Kim Kim di Pasir Gudang bulan lalu.
Ketika krisis memuncak, Osman meneruskan lawatan ke Batam, Indonesia yang katanya sudah diatur lama sebelum insiden Sungai Kim Kim berlaku.
Beliau juga dilapor belum membentangkan pelan ekonomi negeri walaupun sudah lama dititah oleh Sultan Johor. – 9 April, 2019.
Komen