AHLI Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) berjaya menarik balik arahan larangan penjualan minuman keras yang dibuat oleh jawatankuasa kelab itu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat dalam mesyuarat luar biasa yang berlangsung di Seremban malam tadi.
“Ia keputusan sebulat suara,” kata seorang ahli, Shanjoy Roy Choudhury kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata penolakan larangan tersebut kerana ia tidak selaras dengan perlembagaan kelab.
“Arahan itu adalah salah kerana ia tidak melalui ahli dan sebab itu kita adakan mesyuarat luar biasa. Setelah dibincangkan, keputusan dibuat untuk tarik balik arahan tersebut
“Apabila satu keputusan dibuat dalam mesyuarat luar biasa, jawatankuasa kelab perlu akur dan terima,” kata Shanjoy yang merupakan bekas setiausaha SIGC.
Mesyuarat luar biasa yang berlangsung malam tadi diadakan kerana ahlinya tidak bersetuju dengan arahan larangan tersebut dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Razali Ab Malik yang juga timbalan presiden kelab.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang juga presiden kelab, berkata larangan penjualan arak di SIGC itu diputuskan oleh jawatankuasa kelab dan dibincangkan sebanyak dua kali sebelum persetujuan penetapan larangan itu.
Menurut Shanjoy seramai 160 ahli SIGC hadir dalam mesyuarat malam tadi.
Seorang lagi ahli kelab SIGC, Chandran, 67, berkata mesyuarat tersebut turut melibatkan perbincangan sama ada perlu bilik khas untuk ahli bukan Islam minum arak.
“Ada seorang ahli kelab Melayu cadangkan supaya ada pengasingan bilik khas untuk yang nak minum arak.
“Tapi kemudian ada seorang lagi ahli kelab berbangsa Melayu menolak cadangan tesebut. Katanya tidak perlu, maka akhirnya semua setuju kita bebas untuk minum di kelab ini tanpa perlu ada pengasingan,” kata bekas pegawai kerajaan itu.
Kelab berusia 67 tahun itu mempunyai 1,100 ahli dan difahamkan kurang separuh terdiri daripada bukan Islam.
Kerajaan negeri memiliki padang golf manakala kelab dan fasiliti sukan milik ahli SIGC yang rata-ratnya penjawat awam, pesara dan pekerja swasta.
Sementara itu Sashi, 53, berkata tidak ada perbincangan mengenai kedudukan Aminuddin sebagai presiden kelab tersebut.
“Tidak ada. Kita bincang tadi cuma arahan larangan itu untuk ditarik balik.
“Beliau tidak boleh letak jawatan kerana dalam perlembagaan jelas menyatakan menteri besar secara automatik menjadi presiden dan kalau nak letak jawatan, perlu pinda perlembagaan.”
Sebelum ini menteri besar yang juga exco hal ehwal agama Negeri Sembilan itu menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai presiden jika kelab itu gagal menjaga sensitviti orang tempatan.
Sashi berkata ahli kelab SIGC juga selepas ini akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk meminda perlembagaan supaya Aminuddin boleh meletak jawatan sebagai presiden
“Perkara ini akan dibawakan oleh ahli kelab selepas ini. Kami tidak kisahjika Aminuddin tidak mahu menjadi presiden.
“Beliau tidak pernah datang pun mesyuarat AGM kita atau EGM. Jadi kita nak cadangkan kepada kerajaan negeri untuk pinda perlembagaan.
“Kalau beliau tidak berminat biarlah kelab ini diuruskan ahlinya,” katanya yang menjadi ahli kelab SIGC selama 20 tahun lebih. – 25 Mac, 2019.
Komen