AHLI Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) mahu mencabar larangan penjualan minuman keras di kelab yang diketuai Menteri Besar Aminuddin Harun sebagai presiden itu.
Ahli kelab yang ditemui The Malaysian Insight berkata, larangan itu tidak mengikut perlembagaan kelab dan akan dicabar dalam mesyuarat agung SIGC.
Malah tindakan Aminuddin yang mengancam untuk meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan jualan arak di kelab itu juga bertentangan dengan perlembagaan kelab, kata ahli berkenaan.
Seorang ahli yang enggan mendedahkan namanya berkata larangan itu akan dicabar dalam mesyuarat luar biasa esok.
“Yang pasti arahan tersebut hanya keputusan unilateral (sepihak) saja. Kita ahli tidak tahu perkara ini tiba-tiba saja dibangkitkan,” katanya.
Seorang lagi ahli berkata, larangan itu tidak patut timbul kerana kebenarannya sudah dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan kelab.
“Perkara 4.11 dalam perlembagaan (SIGC) jelas membenarkan penjualan, memiliki, membekalkan, menjual dan berurusan berkaitan barangan pengguna dan ini termasuklah penjualan arak.
“Dan kalau beliau kata nak letak jawatan pun sebab SIGC ini merupakan milik kerajaan negeri dan presidennya mestilah menteri besar.
“Jadi beliau memang tidak boleh suka hati nak letak jawatan begitu saja,” kata ahli SIGC itu yang enggan namanya disebut dalam laporan.

Peguam tersebut berkata, pindaan perlu dibuat ke atas perlembagaan SIGC dalam mesyuarat agung tahunan jika larangan ke atas jualan arak mahu dikuatkuasakan di premis tersebut.
“Jadi dalam AGM itu lah apa saja pindaaan akan dibentangkan ahli kelab akan membuat undian setuju atau tidak.
Laporan Sin Chew Daily semalam memetik Aminuddin sebagai berkata, larangan penjualan arak di SIGC itu diputuskan oleh jawatankuasa kelab terbabit.
Aminuddin juga berkata perkara itu telah dibincangkan dalam jawatankuasa SIGC sebanyak dua kali dan persetujuan dicapai menetapkan alkohol tidak boleh dijual di kelab itu.
Menteri besar yang juga exco hal ehwal agama Negeri Sembilan itu juga sedia meletak jawatan sebagai presiden SIGC jika kelab itu gagal menjaga sensitviti orang tempatan.
Menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri dilantik secara terus, masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden kelab.
Kelab itu juga dipimpin seorang setiausaha, bendahari, kapten kelab dan lima orang ahli jawatankuasa.

Namun menurut ahli SIGC, isu berkenaan hanyalah perkara kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan secara baik.
Peguam berusia 67 tahun itu berkata kelab berkenaan boleh menyediakan bilik berasingan untuk orang bukan Islam minum alkohol.
“Dan letaklah pelayan bukan Islam, kan lebih senang begitu,” katanya.
Perkara itu turut dipersetujui oleh seorang lagi ahli kelab SIGC beragama Islam yang berkata banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian oleh menteri besar berbanding isu hidangan arak.
Pesara yang enggan mendedahkan namanya itu berkata, isu seperti itu tidak pernah timbul sejak beliau menganggotai kelab itu pada tahun 1989.
“Kami ahli yang Islam di sini sangat bertimbang rasa dengan bukan Islam. Kalau mereka nak minum atau jual itu hak mereka yang bukan Islam,” katanya.
Beliau turut membandingkan bahawa pentadbiran bekas menteri besar, Mohamad Hasan lebih baik dalam menjaga hak semua kaum di negeri itu berbanding dengan Aminuddin.
Isu jualan arak di SIGC itu juga mungkin memberi kelebihan kepada Umno dalam Pilihan Raya Kecil DUN Rantau yang bakal berlangsung pada April.
“Aminuddin kena ingat beliau ini menteri besar Negeri Sembilan, yang ada kaum Melayu, India dan Cina.
“Saya fikir isu ini juga boleh jadi kelebihan buat Umno,” katanya.
SIGC mempunyai 1,100 ahli dan difahamkan kurang separuh terdiri daripada ahli bukan Islam. – 23 Mac, 2019.
Komen