BANTAHAN dibuat Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar selepas dia digantung daripada Dewan Rakyat bertujuan menarik perhatian pengundi luar, kata Menteri Kerajaan Persekutuan Khalid Samad.
“Inilah yang dikatakan ‘main wayang’. Mereka mahu kelihatan seperti hero untuk penduduk kampung untuk mempertahankan hak Melayu dan Islam.
“Tetapi ini tidak sesuai dan saya harap mereka dapat memainkan peranan yang lebih membina untuk membaiki pentadbiran,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Noh digantung selama tiga hari oleh Timbalan Speaker Nga Kor Ming kerana tidak menghormati Dewan Rakyat.
Semasa perbahasan Isnin lalu, Noh berkata Nga tidak sesuai memakai jubah speaker dan tidak layak menjadi timbalan speaker.
Tetapi daripada menerima keputusan Nga, Noh terus mencabar penggantungan itu dengan enggan meninggalkan dewan semalam.
Noh menolak untuk mematuhi perintah penggantungan sehingga menimbulkan pertikaman lidah di dalam dewan disaksikan Speaker Singapura Tan Chuan Jin dan delegasinya.
Dia hanya meninggalkan Dewan Rakyat selepas Speaker Mohamad Ariff Md Yusof menegaskan keputusan Nga itu.
Khalid hari ini berkata, pembangkang baharu yang diketuai oleh Barisan Nasional (BN) berbeza dengan Pakatan Harapan sebelum ini.
“Ketika kita jadi pembangkang, kita taka da pengalaman dalam kerajaan dan tidak ada akses maklumat.
“Pembangkang hari ini terdiri daripada bekas menteri dan timbalan menteri, jadi mereka sudah biasa dengan keadaan ini,” katanya.
Khalid berkata, pembangkang perlu membuat hujah untuk memperbetulkan bajet dan peruntukan serta menjadi provokatif di Parlimen.
“Kita pernah provok mereka juga tetapi untuk dapatkan maklumat,” katanya.
Beliau berkata, pembangkang yang diketuai BN tidak perlu melakukannya kerana mereka sudah mengetahui banyak fakta.
“Daripada bimbangkan isu tertentu, mereka perlu menjadi pembangkang yang lebih membina dengan mencadangkan penambahbaikan bajet atau peruntukan kepada golongan memerlukan,” katanya. – 20 Mac, 2019
Komen