Pembangkang keluar Dewan selepas Noh Omar digantung 3 hari


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen pembangkang yang keluar dari Dewan Rakyat bagi membantah penggantungan Noh Omar daripada menghadiri persidangan oleh timbalan speaker. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Mac, 2019.

KIRA-KIRA 20 ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan sesi sidang Dewan Rakyat selepas Timbalan Speaker Nga Kor Ming bertindak menggantung kehadiran ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar selama tiga hari bermula hari ini.

Mereka mendakwa Nga menyalahgunakan kuasa mengambil tindakan itu serta Noh tidak diberi peluang mempertahankan diri, berhubung pertikaian kenyataan Nga mengaitkan kerjasama PAS dan Umno akan membentuk kerajaan Taliban.

Ketika keputusan dibuat Noh yang juga bekas menteri pertanian dan industri asas tani tiada di dalam Dewan.

“Ini penyalahgunaan kuasa sebagai speaker. Isu yang berlaku bukan di dalam Parlimen, tapi di luar Parlimen.

“Waktu (Nga) buat kenyataan kejasama PAS dan Umno akan jadi kerajaan kerajaan Taliban, itu sebagai pemimpin DAP di luar Dewan dan beliau tiada imuniti.

“Saya percaya Tanjung Karang minta buat penjelasan. Tanjung Karang kata kalau tidak benar, beliau (Nga) boleh ambil tindakan kepada media, Tanjung Karang bukan buat tuduhan secara langsung,” kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob, ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

“Kes ini melibatkan beliau (Nga), dan beliau yang beri keputusan, ada konflik kepentingan di sini,” kata Ismail lagi.

Sehubungan itu, ahli Parlimen pembangkang menggesa Nga yang juga ahli Parlimen Taiping menarik balik keputusan itu.

“Tanjung Karang kata kalau tak buat kenyataan itu saman syarikat akhbar yang siarkan, tetapi beliau membuat tindakan mempertahankan tindakannya di luar Dewan, dan gunakan kuasa keluarkan Tanjung Karang dari Dewan selama tiga hari.

“Kita minta tarik balik. Beliau tidak boleh gunakan kuasa sebagai speaker untuk mempertahankan kesalahan di luar Dewan. Ini salah guna kuasa sebagai speaker,” kata Ismail.

Ismail yang juga ahli Parlimen Bera berkata, kesemua ahli Parlimen pembangkang juga akan terus memboikot sidang Dewan selagi Nga mempengerusikan sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Selagi Teluk Intan jadi speaker kita akan keluar dewan. Kalau speaker lain pengerusi sidang Dewan kita akan masuk semula,” kata Ismail.

Semalam, Nga yang juga pengerusi DAP Perak dan Noh bertikam lidah berhubung kenyataannya berkaitan isu Taliban.

Pada Jumaat, Nga dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa kerjasama antara Umno dan PAS akan memecahbelahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika berjaya membentuk kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata, pembentukan kerajaan Umno dan PAS juga akan menyebabkan rakyat menderita. – 19 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen