Speaker kekal keputusan terhadap Noh Omar


Mohd Farhan Darwis

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengekalkan keputusan itu selepas Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar memberi penjelasan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2019

SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengekalkan keputusan menggantung Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari walaupun selepas mendengar penjelasan Noh.

Noh diberi peluang membela diri di Dewan Rakyat selepas Timbalan Speaker Nga Kor Ming bertindak menggantung kehadiran Noh susulan bertikam lidah berkaitan dakwaan mengatakan kerjasama PAS dan Umno akan menjadikan kerajaan Taliban apabila memerintah.

“Keputusan pagi tadi muktamad, kesempatan diberikan untuk bela diri, saya putuskan sekarang, keputusan tadi pagi hendaklah terpakai dan muktamad,” kata Ariff, ketika sidang Dewan Rakyat bersambung semula selepas berhenti rehat pada 2.30 petang.

Ariff kemudian menggunakan kuasanya menangguhkan sidang Dewan Rakyat selama 15 minit ekoran kekecohan yang berlaku antara ahli parlimen pembangkang dan kerajaan.

Noh dalam respon balasnya menerima keputusan itu demi menghormati keputusan Ariff dan perjalanan Dewan Rakyat.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat oleh speaker sekarang, tetapi saya tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh timbalan speaker pagi tadi sebab saya tidak ada.

“Tapi petang ini daripada speaker saya menghormati keputusan beliau, dan saya tidak akan tarik balik apa ucapan saya dalam Dewan, yang mengatakan ahli Parlimen Teluk Intan tidak layak menjadi speaker,” kata Noh.

“Oleh kerana nak hormati keputusan dan perjalanan Dewan dengan baik, saya menghormati keputusan speaker pada petang ini bukan pagi tadi,” kata Noh, yang juga bekas menteri pertanian dan industri asas tani.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Umno dan PAS bertindak keluar Dewan selepas Nga memutuskan untuk menggantung kehadiran Noh di Dewan Rakyat.

Mereka berpendapat, keputusan itu dibuat dengan konflik kepentingan kerana waktu itu Noh tiada di dalam Dewan, selain isu yang dibangkitkan berkaitan diri beliau sendiri.

Mereka juga memboikot sidang hari ini yang dipengerusikan Nga. – 19 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen