Kami isi lompong bela wanita, kata SIS


Sheridan Mahavera

Nik Shazarina Bakti (kiri) dan Shareena Sheriff daripada Sisters In Islam. Sejak ditubuhkan pada 2003, pertubuhan itu membantu lebih 8,400 orang Islam untuk menyelesaikan masalah mereka di mahkamah syariah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Mac, 2019.

LEBIH 8,400 umat Islam di Malaysia sudah mendapat bantuan daripada Sisters in Islam (SIS) sejak 16 tahun lalu, termasuk mereka di Kelantan, kata pertubuhan itu sebagai menjawab PAS yang membidas bantuan kerajaan kepadanya.

Sejak ditubuhkan pada 2003, SIS membantu lebih 8,400 orang Islam untuk menyelesaikan masalah mereka di mahkamah syariah, kata pegawai undang-undangnya Nik Shazarina Bakti.

Katanya, PAS  tidak sedar bahawa klinik bantuan guaman SIS, Telenisa, membantu golongan yang berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan, termasuk penduduk di Kelantan yang parti Islam itu tadbir.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Pengurus advokasi, khidmat guaman dan penyelidikan SIS, Shareena Sheriff pula memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan mereka berdepan masalah dengan undang-undang keluarga di mahkamah syariah yang tidak sama mengikut negeri.

Kebanyakan wanita yang mendapatkan bantuan Telenisa tidak sedar akan hak-hak mereka di bawah undang-undang dalam soal perceraian, nafkah dan poligami, kata mereka.

“Tanpa kami, wanita Islam ada isu dengan akses dan kesedaran undang-undang. Ada lompong yang kosong dan kami mengisinya,” kata Shareena, menjelaskan kepentingan Telenisa.

Kerajaan baru-baru ini memperakui kejayaan Telenisa apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mengumumkan bantuan RM20,000 kepada SIS, bertujuan membantu badan itu mengumpulkan data untuk kerajaan menyusun dasar lebih baik.

Sebelum ini Telenisa bergantung pada sumbangan masyarakat, kata Pengurus Komunikasi SIS, Majidah Hashim.

Pengumuman Yeoh itu bagaimanapun dikritik pemimpin PAS yang menyifatkan bantuan itu tidak wajar.

Yeoh bagaimanapun mempertahankan bantuan itu sebagai lebih mulia berbanding tindakan PAS bekerjasama dengan mereka yang korup.

Khidmat nasihat

Telenisa yang dibuka setiap Selasa, Rabu dan Khamis dikendalikan seorang pegawai sepenuh masa dan enam pelatih undang-undang yang disediakan oleh Majlis Peguam dan berganti setiap 14 minggu.

Pusat itu menyediakan bantuan nasihat mengenai undang-undang keluarga dan jenayah Islam, kata Nik Shazarina. Ia juga menyediakan senarai peguam syarie yang boleh dipercayai dan menawarkan khidmat dengan kadar berpatutan.

Nasihat itu diberikan percuma tetapi bayaran guaman dirundingkan antara mereka dengan peguam, katanya lagi. Ada juga peguam yang memberikan khidmat percuma atau diskaun, bergantung pendapatan mereka yang meminta pertolongan.

Tahun lalu, Telenisa juga menerima aduan ada peguam yang tidak melakukan kerja selepas mendapat bayaran.

“Tidak seperti sistem sivil yang dikawal oleh Majlis Peguam, tiada tempat untuk menghukum peguam syarie,” kata Nik Shazarina.

Tiga perkara yang kerap ditanya kepada Telenisa ialah persoalan cerai, nafkah dan poligami, tambahnya.

“Biasanya wanita tidak tahu hak mereka sehingga sesuatu itu berlaku,” jelas Shareena.

“Kebanyakan mangsa dera rumah tangga tidak tahu prosedur untuk menuntut cerai, misalnya perlu ada laporan daripada hospital kerajaan untuk menunjukkan kecederaan.”

Ada juga yang tidak tahu mereka boleh meletakkan syarat taklik yang khusus menyatakan perkahwinan itu bubar misalnya jika suami ketagih dadah atau arah, kata Shareena.

“Sebelum mereka datang pada kami, mereka biasanya pergi ke pejabat agama untuk dapatkan nasihat. Tetapi mereka masih datang pada kami apabila mereka ragu akan nasihat itu.”

“Kami ini pejuang wanita dan kami tahu bagaimana mereka boleh dizalimi di mahkamah,” katanya. – 14 Mac, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen