Hannah Yeoh pertahan dana untuk SIS


Usaha bantu wanita teraniaya lebih mulia daripada bersekedudukan dengan pihak pertahan rasuah, kata Timbalan Menteri Hannah Yeoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2019.

HANNAH Yeoh mempertahankan sumbangan dana kementeriannya kepada Sisters in Islam (SIS), yang dipertikaikan PAS sebagai tidak wajar.

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu sebaliknya membidas PAS dengan menyifatkan usaha pihaknya membantu wanita yang teraniaya lebih mustahak dan mulia daripada tindakan parti Islam itu berkerjasama dengan Umno yang korup.

“Saya tidak pernah menjangka hasrat saya untuk membantu wanita Muslim boleh dijadikan isu. Sepatutnya soal wanita Muslim teraniya yang menjadi pokok perbincangan dan bukannya isu yang tidak membina seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

“Sebagai seorang timbalan menteri persekutuan yang menjaga portfolio melibatkan keluarga, kanak-kanak dan wanita termasuklah wanita Muslim, peruntukan kepada mereka yang mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja membela hak wanita Muslim seperti ini adalah sangat penting.

“Menjaga hak semua wanita dan wanita Muslim yang teraniaya jauh lebih mulia daripada bersekedudukan dengan mereka yang memberi dan mempertahankan amalan rasuah,” tambahnya.

Menurut Yeoh, sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan hak wanita Muslim, PAS patut lebih objektif dan prihatin akan realiti tentang wanita Muslim seperti yang dikumpulkan maklumatnya oleh SIS.

Katanya, klinik bantuan guaman SIS atau Telenisa sudah memberikan khidmat nasihat tentang undang-undang keluarga dan jenayah Islam kepada lebih 8,400 wanita dan lelaki, sejak 2003.

SIS juga sudah mengumpulkan maklumat mengensai kes perceraian wanita Muslim, termasuk isu isteri dan anak yang menghadapi masalah kewangan kesan perkahwinan yang gagal itu, tambahnya.

“Sumbangan RM20 ribu yang telah saya umumkan kepada SIS daripada peruntukan timbalan menteri saya bertujuan memberi sokongan kepada mereka bagi kerja-kerja pengumpulan data dan statistik yang boleh membantu merangka pelan dan intervensi dalam menyelesaikan masalah sosial negara.

“Hanya sebuah kerajaan yang benar-benar prihatin sahaja akan menitikberatkan data dan statistik bagi menyelesaikan masalah,” tambahnya.

PAS bagaimanapun menyifatkan bantuan itu tidak wajar.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kerajaan sepatutnya lebih membantu pertubuhan masyarakat yang menjadi teras kepada Melayu dan Islam, bukannya badan seperti SIS yang menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi pula membantah bantuan itu kerana SIS difatwakan sesat dan menyeleweng oleh pihak berkuasa agama Islam di Selangor.

Beliau malah menggesa Yeoh meminta maaf kepada Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan seluruh umat Islam.

SIS dalam reaksi balas kepada Tuan Ibrahim berkata, badan itu sudah membantu ribuan wanita Muslim dengan memberikan mereka kesedaran tentang hak-hak mereka.

Pengurus Komunikasi SIS Majidah Hashim mengingatkan PAS supaya ambil tahu akan kerja-kerja yang sudah SIS lakukan lebih tiga dekad lalu mendidik wanita Melayu Islam tentang hak mereka mengikut undang-undang syariah. – 10 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen