KERAJAAN tidak wajar menyumbang dana kepada Sisters in Islam (SIS) kerana badan itu difatwakan sesat dan menyeleweng oleh pihak berkuasa agama Islam di Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi.
Katanya, tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh kelmarin menjanjikan bantuan RM20,000 kepada SIS bukan saja mencabar fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tetapi mencabar institusi agama Islam di bawah Sultan Selangor.
“PAS Selangor mendesak Timbalan Menteri DAP ini (Hannah Yeoh) menarik balik sumbangan kepada SIS dan membuat permohonan maaf terbuka kepada DYMM Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Media semalam melaporkan Yeoh menjanjikan dana itu daripada peruntukannya sebagai timbalan menteri sebagai mendukung kerja-kerja SIS, terutama dalam bantuan khidmat guaman syariah kepada wanita.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksi awal menyifatkan bantuan itu tidak wajar kerana diberikan kepada badan masyarakat yang menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam.
Beliau sebaliknya meminta kerajaan memberi tumpuan kepada pertubuhan masyarakat yang menjadi teras kepada Melayu dan Islam.
SIS dalam reaksi balas kepada Tuan Ibrahim berkata, badan itu sudah membantu ribuan wanita Muslim dengan memberikan mereka kesedaran tentang hak-hak mereka.
Pengurus Komunikasi SIS Majidah Hashim mengingatkan PAS supaya ambil tahu akan kerja-kerja yang sudah SIS lakukan lebih tiga dekad lalu mendidik wanita Melayu Islam tentang hak mereka mengikut undang-undang syariah. – 10 Mac, 2019.
Komen