KERAJAAN tidak wajar membantu badan masyarakat yang menimbulkan polemik dalam kalangan umat Islam terutamanya yang memperjuangkan hak asasi manusia, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau dipetik Harakahdaily berkata, kerajaan sebaliknya patut memberi tumpuan kepada pertubuhan masyarakat yang menjadi teras kepada Melayu dan Islam.
Tuan Ibrahim mengulas laporan media mengenai bantuan RM20,000 kepada Sisters in Islam (SIS) yang dijanjikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.
“Sangat tidak wajar diberi, kenapa kerajaan bagi sedangkan kita tahu SIS merupakan NGO kontroversi yang menimbulkan polemik dalam kalangan orang Islam.
“Kita sangat dukacita dengan tindakan itu,” katanya seperti dipetik portal lidah rasmi parti Islam itu.
Beliau juga dilaporkan berkata, bukan saja SIS malah badan masyarakat lain yang berteraskan hak asasi manusia pun tidak wajar dibantu oleh kerajaan.
“Gerakan yang bercanggah dengan polisi negara seperti hak asasi manusia termasuk Suhakam sendiri, ada tuntutan kadang-kadang perlu dinilai semula.
“Langkah ini dilakukan agar sesuai dengan suasana dan majoriti penduduk kita yang tidak menerima tuntutan orang luar terhadap negara kita,” katanya.
Suhakam bagaimanapun sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 dan elaun bagi pesuruhjayanya ditentukan oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Suhakam adalah antara badan yang mendukung cadangan ratifikasi ke atas Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang jadi titik bantahan oleh pertubuhan Melayu dan Islam termasuk PAS.
Pada November lalu, Putrajaya membatalkan cadangan meratifikasi ICERD sebaliknya akan terus mempertahankan kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan ratifikasi ICERD membawa kepada perhimpunan bersama anjuran PAS dan Umno di Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu. – 9 Mac, 2019.
Komen