AHLI Parlimen Segamat Dr Edmund R. Santhara Kumar adalah ahli Parlimen terkaya ketika ini, menurut maklumat terkini di Portal Perisytiharan Harta milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut laman web itu, perisytiharan harta Santhara termasuk isterinya, menyatakan aset beliau bernilai RM123 juta dan ini menjadikan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham jatuh ke tempat kedua.
Laman web itu juga menyatakan Santhara memperoleh pendapatan RM45,000 sebulan.
Sebelum menyertai politik, timbalan setiausaha agung PKR berusia 47 tahun itu merupakan pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Masterskill Education Group Bhd.
Pada awal 2013, Santhara meletak jawatan sebagai CEO untuk memberi tumpuan kepada politik. Beliau turut menjual 72 juta atau 17.5% sahamnya di syarikat itu dan memperoleh RM28.8 juta.
Pada 2013 juga, beliau bertanding di kerusi parlimen Hulu Selangor sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum tetapi tewas.
Santhara mengisytiharkan hartanya di portal SPRM itu pada Disember lalu, iaitu kira-kira sebulan selepas ia beroperasi pada November.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan anak lelaki beliau, Muhkriz Mahathir masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Dr Mahathir mengisytiharkan RM32 juta atas nama beliau manakala Mukhriz, bekas pemilik Opcom Holdings, mempunyai harta bernilai RM25 juta. Mukhriz kini menteri besar Kedah.
Perisytiharan harta ini diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian daripada usaha membanteras rasuah selepas mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun lepas.
Meskipun, ia tidak wajib, kebanyakan wakil rakyat PH dan menteri serta timbalan menteri Kabinet telah mengisytihar harta mereka.
Setakat hari ini, seramai 76 daripada 86 anggota pentadbiran sudah mengisytiharkan harta mereka manakala 121 daripada 129 ahli Parlimen telah mengemuka borang perisytiharan harta.
Ini termasuk Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta tujuh ahli Parlimen yang keluar Umno yang kemudiannya menyertai Bersatu bulan lepas.
Anwar menjadi ahli Parlimen selepas menang Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Oktober lepas.
Menurut pejabat beliau, borang perisytiharan telahpun dihantar ke SPRM.
“Kami cuma menunggu laman web dikemas kini,” kata seorang pegawai yang enggan dinamakan.
Antara ahli Parlimen dari Umno yang baru saja menyertai PH, hanya Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali telah mengisytihar harta.
Tiada seorang pun wakil rakyat dari pembangkang, baik PAS, Barisan Nasional atau Gabungan Parti Sarawak telah mengisytihar harta mereka. – 6 Mac, 2019.
Komen