Anwar menang mudah di Port Dickson


Mohd Farhan Darwis

Anwar Ibrahim menang PRK Port Dickson dengan 31,016 undi mengalahkan enam calon lain yang bertanding. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Oktober, 2018.

KETUA Umum PKR Anwar Ibrahim seperti dijangka menang mudah kerusi Parlimen Port Dickson hari ini, menewaskan enam lagi calon lain apabila memperoleh 23,560 undi majoriti.

Beliau memperolehi sejumlah 31,016 undi, diikuti calon PAS Mohd Nazari Mokhtar yang menerima 7,456 undi.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad yang bertanding atas tiket bebas terpaksa berpuas hati apabila menerima hanya 4, 230 undi, manakala calon bebas lain Stevie Chan (337 undi), Lau Seck Yan (214), Saiful Bukhari Azlan (82), dan Kan Chee Yuen (154). Manakala 598 undi ditolak.

Walaupun tewas, calon bebas Lau dan Kan turut hadir ke pusat penjumlahan undi ketika pengumuman dibuat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata peratusan keluar mengundi bagi PRK Port Dickson adalah lebih kurang 58.3% dengan jumlah keluar mengundi sebanyak 44,172 orang daripada 75,770 pemilih.

Anwar tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) kira-kira pukul 8.55 malam diiringi isterinya, yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Anwar Ibrahim tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson bersama isterinya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Oktober, 2018.

Selepas pengumuman rasmi dibuat, beliau kemudiannya bergerak ke bilik gerakan utama Pakatan Harapan di PD Waterfront bagi sambutan kemenangan bersama jentera dan para penyokong.

Pengundian awal pada 9 Oktober lalu menyaksikan sebanyak 63% pengundi keluar mengundi.

Kerusi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008 apabila calonnya Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU2013.

Pada PRU14, calon PH Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi Parlimen itu dengan 17,710 undi, mengalahkan calon BN V Mogan daripada MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Beliau kemudiannya melepaskan kerusi itu untuk ditandingi Anwar. – 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen