BN akan mesyuarat, bincang usul bubar parti, kata Mohamad Hasan


SM Amin

Timbalan Pengerusi Umno Mohamad Hasan berkata demikian sebagai menjawab soalan apa tindakan BN terhadap desakan MCA.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2019

BARISAN NASIONAL akan bermesyuarat bagi membincangkan desakan MCA supaya gabungan politik sejak awal 1970-an itu dibubarkan, kata Timbalan Pengerusinya Mohamad Hasan.

“Tidak apalah nanti kita akan panggil mesyuarat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Mohamad berkata demikian sebagai menjawab soalan apa tindakan BN terhadap desakan MCA, yang gemanya semakin lantang minggu ini.

Bagaimanapun Mohamad enggan memaklumkan bila mesyuarat tersebut akan diadakan.

“Terpulang kepada kelapangan masing-masing. Masa saya okay tetapi masa mereka kadang-kadang susah,” katanya.

Presiden MCA Wee Ka Siong sekali lagi melaungkan desakan itu semasa berucap sempena sambutan ulang tahun ke-70 partinya hari ini di Kuala Lumpur. Beliau mahu BN segera bermesyuarat membincangkan usul pembubaran BN.

“Kita harap Majlis Tertinggi BN boleh panggil mesyuarat secepat mungkin,” katanya.

“Tak kiralah apa keputusannya, kita percaya sejak gabungan diasaskan oleh tiga parti komponen, masa depannya juga mestilah diputuskan oleh tiga komponen parti ini juga.

“Kita cuba mencapai konsensus yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen dan bekerjasama dalam menentukan masa depan kita bersama,” katanya.

Sementara menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi BN itu diadakan, Wee mahu kepimpinan MCA dan MIC berbincang mengenai kerjasama masa depan kedua-dua parti, dalam tempoh tiga hari lagi.

Usul bubar BN mula dilontarkan sebagai resolusi Perhimpunan Agung MCA awal Disember lalu. Perhimpunan agung itu memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat MCA untuk memulakan proses membubarkan BN dan membentuk gabungan politik baharu.

Usul tersebut pada masa itu ditempelak banyak pemimpin Umno, termasuk yang menggesa agar MCA angkat kaki keluar parti dan bukannya berhelah mahu membubarkan BN.

Dalam ucapannya hari ini, Wee sekali lagi menyelar Setiausaha Agung BN Mohamed Nazri Aziz atas ucapan berbaur perkauman semasa kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih baru-baru ini. Beliau menyifatkan Nazri tidak lagi layak jadi setiausaha agung BN.

Wee sebelum ini mengulangi kritikan Setiausaha Agung MCA Chew Mei Fun yang menyifatkan tingkah laku dan tutur kata seperti Nazri punca BN kalah pilihan raya umum lalu.

Nazri sebelum ini mengalu-alukan hasrat MCA untuk meninggalkan BN dan berkata parti komponen etnik Cina itu boleh bertindak demikian dengan sendiri tanpa perlu meminta bekas gabungan parti pemerintah itu dibubarkan.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight minggu lalu Nazri berkata MCA boleh keluar BN kerana gabungan politik itu tidak akan dibubarkan.

Sejak kalah Pilihan Raya Umum ke-14, hampir semua komponen BN di Sabah dan Sarawak meninggalkan parti itu meninggalkannya kini dibentuk bersama tiga parti asal iaitu Umno, MCA dan MIC. – 2 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen