PADA ulang tahun ke-70 MCA hari ini, parti itu sekali lagi mendesak supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan, menggesa Majlis Tertinggi BN segera mengadakan mesyuarat untuk membincangkan usulnya itu.
Presiden MCA Wee Ka Siong juga menyelar Setiausaha Agung BN Nazri Aziz dan berkata beliau tidak layak memegang jawatan itu selepas memberi ucapan berbaur perkauman ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih baru-baru ini.
Hampir tiga bulan lalu, Perhimpunan Agung MCA mengusulkan resolusi supaya BN dibubarkan dan membentuk perikatan baharu, dan jawatankuasa pusat parti itu menulis surat kepada Majlis Tertinggi BN, meminta supaya mesyuarat diadakan secepat yang mungkin untuk membincangkan resolusi itu.
“Kita harap Majlis Tertinggi BN boleh panggil mesyuarat secepat mungkin.
“Tak kiralah apa keputusannya, kita percaya sejak gabungan diasaskan oleh tiga parti komponen, masa depannya juga mestilah diputuskan oleh tiga komponen parti ini juga.
“Kita cuba mencapai konsensus yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen dan bekerjasama dalam menentukan masa depan kita bersama,” kata Wee ketika berucap pada sambutan ulangtahun ke-70 MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata sementara menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi BN diadakan, kepimpinan MCA dan MIC akan berbincang mengenai kerjasama masa depan bagi kedua-dua parti, dalam tempoh tiga hari lagi.
“(Kita akan bincang) sementara menunggu Majlis Tertinggi BN panggil mesyuarat untuk memberi keputusan muktamad,” kata Wee.
Kini hanya tiga parti yang tinggal dalam gabungan BN - Umno, MCA dan MIC - pengasas gabungan Perikatan.
BN terdiri mempunyai 13 komponen ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tetapi selepas kalah teruk dan kerajaan Persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH), beberapa parti di Sabah dan Sarawak juga Gerakan di Semenanjung mengambil keputusan keluar dari gabungan.
Mengulas gesaan MCA itu, Nazri berkata tiada masalah jika parti itu mahu tinggalkan BN seperti yang dilakukan oleh parti-parti komponen lain selepas kalah pada PRU14.
Wee berharap kepimpinan BN akan mengambil langkah yang sewajarnya terhadap Nazri berhubung ucapan berbaur perkaumannya di Semenyih. – 2 Mac, 2019.
Komen