Roti, mee segera, sosej mungkin jadi barangan kawalan harga


Sheridan Mahavera

KPDNKK sedang mengkaji tabiat membeli belah rakyat Malaysia dan akan memasukkan beberapa barangan baharu dalam kawalan harga, kata Menteri Saifuddin Nasution. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Februari, 2019.

ROTI, mee segera dan sosej.

Ini adalah antara 30 bahan yang selalu dibeli kumpulan pekerja di Malaysia, dan kerajaan sedang merancang memasukannya ke dalam senarai barangan kawalan harga sepanjang tahun.

Usaha memperbanyakkan bahan dalam senarai itu yang sudah meliputi beras, minyak masak dan gula, adalah sebahagian daripada usaha Putrajaya mengurangkan beban sara hidup kumpulan pendapatan rendah di Malaysia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution.

Bagaimanapun, bukan semua 30 bahan akan berada dalam senarai kawalan harga kerana kerajaan mahu memilih barangan yang popular supaya tidak menganggu pasaran, katanya.

Satu lagi inisiatif adalah untuk mengurangkan atau menghentikan sementara eksport makanan dari Malaysia seperti sayur-sayuran dan bekalan daging ayam dan itik apabila bekalan berkurangan, kata Saifuddin.

Ini adalah kerana kekurangan bekalan dalam negara akan menaikkan harga barangan tersebut, katanya lagi.

Ini adalah beberapa langkah yang sedang dipertimbangkan kerajaan bagi membantu kelas pekerja Malaysia ketika cakap-cakap yang Pakatan Harapan masih tidak berusaha memenuhi janji utama mereka ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, iaitu menurunkan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

“Strategi kerajaan adalah menangani kos sara hidup dengan menilai kedua-dua (aspek) pendapatan dan kos barangan dan perkhidmatan, dan ini akan menjejaskan sama ada rakyat mampu membeli makanan dan barangan rumah. Penyelesaian adalah jangka panjang dan pendek,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. 

Beberapa penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang sedang dirangka dengan kerjasama pelbagai kementerian bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Malaysia, kata Menteri Saifuddin Nasution. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Februari, 2019.

Kawalan harga makanan ruji dan barangan rumah serta tindakan ke atas perdagagangan domestik adalah antara penyelesaian jangka pendek yang berada di bawah KPDNKK, katanya.

Pada masa sama, KPDNKK juga sedang bekerjasama dengan kementerian lain seperti kewangan, sumber manusia dan hal ehwal ekonomi untuk penyelesaian jangka panjang, seperti meningkatkan upah dan perlindungan sosial serta mengurangkan kebergantungan pekerja asing, kata menteri itu lagi.

“Penyelesaian jangka panjang ini adalah sebahagian daripada agenda perubahan struktur dan akan mengambil masa,” katanya, mengakui yang kerajaan masih terkekang dengan beban hutang besar ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional dalam pelaksanaan agenda perubahan besar-besaran.

“Tetapi, walaupun dengan halangan ini, kami masih berupaya memberi bantuan seperti bantuan kos sara hidup untuk B40, untuk nelayan waktu musim tengkujuh, subsidi baja untuk petani dan bekalan sekolah,” katanya.

Putrajaya sedang mempertimbangkan pelbagai kaedah mengurangkan beban kos sara hidup rakyat ketika timbul cakap-cakap Pakatan Harapan sudah gagal melunaskan janji mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.

Teratas dalam 30 barangan terpilih

Saifuddin berkata kementerian sedang mengumpul data seluruh negara daripada pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Mydin dan NSK tentang tabiat membeli belah pengguna.

Beliau menekankan, hanya barangan paling popular daripada 30 barangan akan dimasukkan dalam senarai kawalan harga dan enggan meletakkan jumlah sebenar barangan terpilih kerana kementerian masih menjalankan kajian.

“Terdapat hampir 4,000 barangan dalam senarai mereka dan kami sedang melihat 30 barangan paling biasa (dibeli). Kebanyakan pengguna akan membeli 30 barangan ini. Biasanya ia tidak berubah. Ia seperti mee segera, sosej, telur, minyak masak, roti, lampin, kicap, ayam dan pelbagai jenis ikan.”

Kerajaan juga mempertimbangkan menghentikan sementara eksport sayur-sayuran jika bekalan dalam negara rendah untuk elak kenaikan harga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.

Malaysia sudahpun mempunyai dasar menghentikan sementara eksport pelbagai jenis ikan yang popular seperti kembong, mabong dan selar apabila bekalan dalam negara berkurangan, katanya.

Kementerian sedang meneliti cadangan meluaskan dasar itu kepada barangan segar lain seperti sayur-sayuran ketika harganya meningkat kerana permintaan tinggi dan bekalan rendah.

Cadangan ini turut dibangkitkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang kerana harga sayur melonjak naik ketika musim hujan disebabkan bekalan dalam negara berkurangan.

Saifuddin berkata kerajaan sedang mengenalpasti barangan makanan yang boleh dimasukkan ke dalam senarai tidak boleh eksport, menambah yang kementerian juga perlu meneliti perjanjian dengan negara luar.

“Setiap kali kita memutuskan untuk menagguhkan eksport, kita perlu memaklumkan negara destinasi 90 hari lebih awal. Ini sesuatu yang kita perlu kaji sebelum pelaksanaan.” – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen